Hannah Yeoh merasmikan Jualan Sukan Rahmah menjelang Hari Sukan Negara pada Oktober ini.

KUALA LUMPUR – Penduduk negara ini perlu mendapat akses kepada barangan, kelas dan latihan sukan dalam usaha kerajaan merakyatkan sukan.

Menterinya Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, dalam pertemuan dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan semalam beberapa inisiatif telah dicadangkan bagi membolehkan rakyat Malaysia menggunakan fasiliti untuk bersukan atau beriadah dengan mudah dan murah.

“Antaranya ialah, pelepasan cukai ke atas gaya hidup melalui kelas atau latihan sukan yang kita sign-up sama ada untuk diri sendiri atau anak-anak kita dan kita bayar
setiap bulan.

“Selain itu, penggunaan fasiliti sedia ada di bawah KBS untuk aktiviti sukan, beriadah atau berkhemah oleh orang awam dan saya juga telah memohon jika konsep ini boleh dilaksanakan oleh kerajaan tempatan melalui fasiliti sukan mereka (seperti stadium) dan agensi-agensi kerajaan lain,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis perasmian Jualan Rahmah Sukan di Al Ikhsan, di sini, hari ini.

Hannah berkata, Jualan Rahmah yang dianjurkan di bawah kementeriannya bertujuan membantu rakyat berjimat ketika berbelanja dengan syarikat yang mengambil bahagian akan menawarkan produk pada harga yang lebih rendah daripada harga pasaran.

“Saya amat berharap dengan adanya inisiatif Jualan Sukan Rahmah ini, kita boleh mula rancang sukan apa yang kita nak anak-anak kita ceburi dan mula beli keperluan sukan dengan kadar yang berpatutan,” ujarnya.

Sementara itu, pada sidang media, Hannah berkata, beliau mahu peserta industri memberi perhatian kepada aspek penyewaan kemudahan sukan bagi dimanfaatkan rakyat.

Katanya, tiada guna rakyat mampu membeli raket badminton pada harga murah namun tidak berupaya menempat gelanggang badminton akibat kadar sewaan yang tinggi. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast