Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) meluluskan sistem pengiraan baharu 15 mata setiap set dan bukannya 21 mata sebagaimana sebelumnya, bagi semua kejohanan dan pertandingan sepak takraw berkuat kuasa 2 Februari tahun depan.

Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, keputusan itu dibuat semasa mesyuarat Kejohanan Sepak Takraw Dunia Ke-36 Piala Raja Thai 2023 pada 15 Julai lepas.

“ISTAF memutuskan dan meluluskan penggunaan sistem pengiraan baharu yang akan dilaksanakan berkuat kuasa 2 Februari 2024 (selepas enam bulan dari tarikh kelulusan) untuk semua kejohanan sepak takraw.

“Ini bagi memberi masa yang cukup kepada pemain dan pasukan untuk menyesuaikan diri dan menerima pakai sistem baharu itu, untuk kekal berdaya saing di semua peringkat pertandingan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu Abdul Halim yang juga presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF), berkata, ISTAF menolak penggunaan sistem baharu itu di Sukan Asia Hangzhou kerana temasya sukan itu hanya tinggal 10 hari lagi untuk diadakan menjadikan ia bagaikan tidak adil kepada pemain dan pasukan.

Beliau menambah semua perubahan besar dalam peraturan permainan sepak takraw hanya perlu diterima pakai selepas enam bulan dari penerimaan dan kelulusan cadangan. – MalaysiaGazette