Himpunan Selamatkan Malaysia
Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Semua pihak termasuk parti-parti politik diminta akur serta menghormati titah raja-raja Melayu agar masjid dan surau tidak disalahgunakan untuk aktiviti berbentuk politik kepartian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, beliau bimbang mengenai kecenderungan pihak-pihak tertentu yang menjadikan masjid dan surau sebagai platform awal untuk berhimpun.

Menurut beliau, tindakan itu tentunya boleh mengganggu-gugat fungsi masjid sebagai pusat penyatuan umat Islam.

“Selain itu, apabila institusi masjid dan surau dilibatkan dengan kancah politik kepartian, ia akan menimbulkan ketegangan dalam masyarakat selain mencemarkan institusi masjid dan surau sebagai zon bebas daripada politik kepartian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada rancangan penganjur Himpunan Selamatkan Malaysia esok yang mahu menjadikan Masjid Jamek Kampung Baru di sini sebagai lokasi awal untuk peserta-peserta berkumpul.

Mohd Na’im memberitahu, semua pihak diseru agar lebih bertanggungjawab serta tidak menjadikan institusi masjid dan surau sebagai gelanggang pertelagahan politik.

Beliau menambah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) telah diarahkan untuk memantau masjid dan surau di Wilayah Persekutuan serta mengambil tindakan berpandukan lunas undang-undang sekiranya ada mana-mana pihak melanggar peraturan dan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

“Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berharap agar semua pihak menghormati agensi berautoriti demi menjaga kemuliaan institusi masjid dan surau serta menjamin kesejahteraan negara.

“Semua pihak diseru agar tidak terpengaruh dengan apa-apa aktiviti yang dianjurkan oleh pihak tertentu yang boleh mengundang perpecahan dan menimbulkan kegelisahan awam,” jelasnya. – MalaysiaGazette