KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kota Puteri, Gombak, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian pukul 6.59 pagi dan menggegaskan sepasukan anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Batu Arang.
Katanya, sejurus tiba di lokasi, pihaknya mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas berusia 50 tahun didapati telah meninggal dunia.
“Mangsa mengalami cedera parah dan tercampak di bahu jalan akibat daripada pelanggaran itu.
“Bagaimanapun, pemandu kereta jenis Suzuki Alto berusia 68 tahun dan penumpangnya yang berumur 70 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, kedua-dua kenderaan dipercayai bertembung dari arah bertentangan yang mana penunggang motosikal dari arah Batu Arang ke Kota Puteri manakala, pemandu kereta tersebut dari arah Kota Puteri ke Batu Arang.
Ujarnya, bomba mengambil masa 58 minit untuk melakukan kerja-kerja menyelamat sebelum kesemua mangsa diserah untuk urusan selanjutnya oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan perubatan. – MalaysiaGazette