Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Membawa lebih muatan sehingga 140 peratus daripada had dibenarkan menjadi punca beberapa kenderaan berat tidak dilepaskan dari sitaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Agensi dibawah Kementerian Pengangkutan itu menerusi kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum berkenaan laporan media berhubung sekumpulan pemandu lori yang merungut selepas kenderaan milik mereka tidak dilepaskan dari sitaan.

Menurutnya, kenderaan berat terbabit ketika ditahan didapati membawa muatan berlebihan antara 70 hingga 140 peratus yang boleh mengundang risiko berlakunya kemalangan maut.

“Dalam menguatkuasakan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) & Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), adalah bersandar kepada prosedur di bawah akta berkenaan.

“Kenderaan berat yang membawa lebih muatan atau berbahaya adalah berisiko kepada kemalangan maut akibat kegagalan fungsi brek dan kegagalan teknikal.

“Ia juga mengakibatkan kerosakan jalan raya yang sering menjadi punca kemalangan kepada kenderaan lain,” katanya.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan, sekumpulan pemandu hilang punca pendapatan selepas lori milik mereka tidak dilepaskan daripada sitaan JPJ walaupun mendakwa sudah melangsaikan kompaun atas kesalahan lebih muatan.

Malah, ada yang mendakwa terdapat pemilik lori sudah disenarai hitam oleh pihak bank kerana gagal membayar ansuran bulanan kenderaan berat itu yang mencecah RM6,000 sebulan.

Mereka mendakwa, JPJ enggan melepaskan lori milik mereka termasuk mengeluarkan notis pelucutan hak walaupun kompaun berjumlah puluhan ribu ringgit sudah dibayar.

Sehubungan itu, JPJ berkata, pihak syarikat atau pemilik lori dinasihatkan untuk menyelesaikan isu berkenaan di bawah Seksyen 57 dan Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 di Mahkamah.

“JPJ memikul amanah dalam menguatkuasakan undang-undang dan peraturan jalan raya serta tidak berkompromi dengan mana-mana pihak.

“Penguatkuasaan undang-undang jalan raya penting bagi mengurangkan risiko kemalangan dan kehilangan nyawa pengguna jalan raya yang lain,” tegasnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pemandu terus buntu, JPJ masih sita lori walau kompaun sudah dibayar

Saman sudah bayar kenapa JPJ sita lagi lori kami?