Norfaidah (kiri) merasmikan Program Lawatan Konsultasi Hasil (LKH) 2.0 di Menara Hasil Lokaliti Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Perniagaan jenis milikan tunggal dikenal pasti sebagai golongan culas membayar cukai di Pulau Pinang.

Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) negeri, Norfaidah Daud berkata, berdasarkan rekod mendapati golongan berkenaan didapati tidak mempunyai akaun teratur berbanding syarikat lain.

“Peratusan tertinggi yang culas bayar cukai di negeri ini terdiri daripada mereka yang menjalankan perniagaan milikan tunggal.

“Kebanyakan perniagaan milikan tunggal ini tidak ada struktur organisasi menyebabkan kadar ketidapatuhan berbeza sedikit berbanding syarikat lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Lawatan Konsultasi Hasil (LKH) 2.0 di Menara Hasil Lokaliti di sini, hari ini.

Norfaidah.

Dalam ucapan pada majlis itu, Norfaidah menegaskan LKH akan berlangsung selama empat hari sehingga Khamis ini dan objektifnya bagi mewujudkan rasa keberadaan pasukan HASIL dalam kalangan pemain industri serta memberi khidmat khas percukaian yang relevan kepada pembayaran cukai.

Dalam perkembangan lain, Norfaidah berkata, Pulau Pinang merupakan negeri kedua tertinggi dalam kutipan cukai negara selepas Sarawak.

“Seramai 958,743 pembayar cukai direkodkan di negeri ini pada tahun lalu dengan kutipan berjumlah RM6.8 bilion.

“Bulan lepas, kita menyumbang 4.78 peratus daripada jumlah kutipan negara dan kita sasarkan kutipan cukai lebih RM7 bilion untuk tahun ini,” katanya.

Media pada 12 September lalu melaporkan syarikat yang culas membayar cukai kepada

LHDN perlu diberi perhatian bagi memastikan kutipan cukai dapat dibuat dengan cekap dan memberi manfaat kepada rakyat.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara itu perlu dilaksana segera berbaki dua setengah tahun dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

“Kita kena pastikan mana-mana syarikat yang mendapat projek, (serta) segala rantaian syarikat mestilah dipantau.

“Mereka ini perlulah membayar cukai kepada LHDN supaya LHDN boleh dapat pendapatan, kemudian disalurkan semula kepada kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast