Tangkap layar perbualan WhatsApp palsu tular di media sosial

Kuala Lumpur – Pengarah Komunikasi Strategik dan Komunikasi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Suria Zainal menafikan tangkap layar tular mendakwa seorang Felo Perdana yang dibuang masih bertugas.

Serentak itu, Suria meminta pihak berkongsi tangkap layar perbualan WhatsApp yang direka dan palsu tersebut memadamkan hantaran terbabit di media sosial.

“Helo, bolehkah anda memadamkan hantaran ini kerana mesej tangkap layar yang disiarkan adalah rekaan. Sila padamkan profil saya daripada siaran anda ASAP (dengan segera). Terima kasih.

“Tidak, dia tidak lagi bersama kita,” tegas Suria yang menjawab soalan salah seorang pengguna Twitter sama ada Felo Perdana yang telah dibuang masih lagi bertugas di MITI.

Sebelum itu beberapa pempengaruh media sosial berkongsi tangkap layar perbualan WhasApp antara Felo Perdana terbabit dengan Suria.

Dalam perbualan yang direka itu, Suria berkata, isu melibatkan Felo Pedana itu akan diselesaikan dan berpendapat beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Beliau juga meminta Felo berkenaan menjadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran dan menganggapnya satu halangan yang tidak seharusnya menjadi punca kegagalan kehidupan.

Dialog rekaan itu juga berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terpaksa mengeluarkan kenyataan untuk mendiamkan orang awam daripada terus memperkatakan isu tersebut dan mendakwa menteri mahu Felo Perdana itu masuk bertugas seperti biasa.

Sebelum ini KBS melancarkan siasatan dalaman berhubung seorang peserta program Felo Perdana yang ditempatkan di MITI kerana mengemukakan sijil palsu.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, siasatan awal mendapati terdapat kelemahan dalam sistem prosedur operasi standard (SOP) daripada segi proses penapisan.

“Sehubungan itu, di KBS kami sudah memulakan satu siasatan dalaman untuk meneliti pasukan ‘vetting team’ yang bertanggungjawab ke atas proses pemilihan calon Felo Perdana itu untuk menentukan apa yang telah sebenarnya berlaku dalam situasi ini.

“Berdasarkan siasatan, kami akan mengambil tindakan sewajarnya dalam kes ini,” katanya.

KBS mengumumkan Felo Perdana tersebut ditamatkan daripada menyertai program itu kerana mengemukakan sijil tidak tulen.

Pengambilan individu terbabit ke dalam program Felo Perdana mencetuskan kontroversi kerana beliau pada 2020 mendakwa menerima biasiswa daripada Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Negara (NASA).

Biasiswa terbabit “diberikan” kerana kejayaannya mereka sut angkasa lepas untuk ke Marikh dalam satu pertandingan yang didakwa  dianjurkan oleh NASA.

Bagaimanapun beliau kemudiannya mendakwa menjadi mangsa penipuan dalam pemberian biasiswa tersebut.-MalaysiaGazzete