Khalil Ahmad

MELAKA – Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (BARIM) Zon Selatan mencadangkan kerajaan mengapungkan harga beras tempatan atau pemberian subsidi bagi mengatasi isu kekurangannya sejak beberapa bulan lalu.

Pengerusinya, Khalil Ahmad berkata langkah itu bagi mengatasi kadar keuntungan yang terlalu rendah sekitar 50 sen hingga 80 sen yang diterima pemborong dan peruncit menyebabkan mereka kurang berminat mengedarkan beras tempatan.

Menurutnya, cadangan mengapungkan harga sehingga RM29 bagi kampit 10 kilogram (kg) berbanding RM26 sejak puluhan tahun lalu atau subsidi RM600 bagi setiap tan metrik, pastinya disambut baik pemain industri beras di negara ini.

“Sebab itu kita cadangkan dalam tempoh kritikal ini sahaja, mungkin selama setahun kerajaan boleh apungkan harga beras tempatan atau diberi sedikit subsidi RM600 bagi setiap tan metrik.

“Ini cuma sementara dan selepas bekalan pulih, kerajaan boleh fikirkan mekanisme lain kerana ketika ini isunya adalah keuntungan beras tempatan ini terlalu sedikit,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, keadaan itu mendorong kebanyakan pemborong dan peruncit tidak berminat untuk mengedarkan beras tempatan dan memilih menjual beras import pada harga lebih tinggi sehingga RM40 sekampit 10 kg.

“Ini secara tidak langsung menyebabkan pengguna terkesan kerana tiada beras tempatan di pasaran berbanding jika mereka mendapat margin untung yang setimpal.

“Contohnya bila harga beras tempatan diapung sehingga RM29, ia tidak begitu jauh dengan beras import sekitar RM39 dan membolehkan bekalan beras tempatan kembali di pasaran,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast