Antara babak permainan antara Kelantan FC dan KUFC di Stadium Sultan Muhammad IV, yang berlangsung malam tadi. Gambar: Facebook KUFC

KUALA LUMPUR – Kelantan FC dilihat semakin nazak apabila merekodkan empat kekalahan teruk berturut-turut yang disifatkan sangat memalukan.

Terbaharu, skuad yang pernah digeruni dengan gelaran The Red Warriors (TRW) itu dibelasah ‘adiknya’ Kelantan United Football Club (KUFC) 7-0 dalam suku akhir pertama Piala Cabaran 2023 di Stadium Sultan Muhammad IV, yang berlangsung malam tadi.

Sebelum ini Kelantan FC dibelasah 8-0 oleh Terengganu FC, Johor Darul Ta’zim (10-0) dan Selangor FC (11-2).

Bagi KUFC pula Kemenangan itu harus meletakkan anak buah Ailton Dos Santos sebelah kaki ke separuh akhir.

Kenduri gol KUFC bermula pada minit kesembilan apabila rembatan Dominik Balic menggegar gawang TRW.

Gol kedua terhasil 10 minit kemudian menerusi tandukan Ismaheel Akinade hasil sepakan sudut Indra Putra Mahayuddin untuk kedudukan 2-0 kekal hingga tamat babak pertama.

Memasuki babak kedua, Indra Putra terus mengukuhkan kedudukan KUFC dengan gol ketiga di minit ke-59.

Anak buah Dos Santos terus mengganas apabila Mohd Faiz Mohd Nasir berjaya merobek gawang pelawat untuk kali keempat di minit ke-74.

Pemain gantian, S Sharvin mudah menolak masuk gol kelima buat Kijang Hijau, lima minit kemudian sebelum seorang lagi pemain gantian, Royizzat Daud melengkapkan kemenangan bergaya KUFC dengan dua gol dalam tempoh selang seminit pada minit ke-88 dan 89. – MalaysiaGazette