Persekitaran pintu utama Istana Negara.

KUALA LUMPUR – Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hamid Sultan Abu Backer memohon agar Raja-Raja Melayu membersihkan instiusi undang-undang daripada kelakukan tidak beretika.

Menurut beliau, Raja-Raja Melayu mempunyai kuasa Perlembagaan untuk membetulkan salah laku oleh petugas undang-undang termasuk hakim dan pendakwa raya.

“Saya berpendapat bahawa raja-raja, mengikut sumpah jawatan mereka untuk mengekalkan kedaulatan undang-undang, mempunyai kuasa perlembagaan untuk membetulkan salah laku sedemikian oleh petugas perlembagaan atau agensinya. Perkara ini juga boleh dibangkitkan dalam petisyen untuk pengampunan,” katanya.

Hamid Sultan berkata, pengasas negara telah mengamanahkan raja-raja sebagai penimbang tara terakhir untuk membetulkan sebarang bentuk salah laku.

Beliau sebelum ini bersetuju dengan pendapat Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak mendapat keadilan prosedur dalam kes membabitkan dana SRC International.

“Etika adalah komponen tonggak Islam, dan Raja-Raja Melayu, melalui Sumpah Jawatan mereka, diberi kuasa untuk menahan kelakuan tidak beretika semua orang Islam, termasuk mereka yang memegang jawatan di bawah perlembagaan.

“Industri perundangan kita mesti dibersihkan daripada unsur-unsur “tidak beretika”. Agama tanpa etika tidak berguna di dunia mahupun akhirat.

“Sebagai penjaga agama Islam, ia menjadi tanggungjawab Raja-Raja Melayu untuk menghapuskan segala bentuk tindakan dan tingkah laku yang tidak beretika dalam industri perundangan kita untuk meletakkan Malaysia dan rakyat Malaysia di atas landasan etika untuk mengekalkan kedaulatan undang-undang,” katanya dalam satu artikel yang disiarkan di Free Malaysia Today.

Beliau mendakwa, industri perundangan negara amat lemah dalam menghayati Perundangan Sumpah Jawatan dan akibatnya orang ramai terpaksa menanggung akibat kegagalan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang secara beretika.

Hamid Sultan juga berkata, peranan pendakwa adalah untuk mengemukakan bukti secara jujur untuk memenuhi keperluan undang-undang. Walau bagaimanapun, seorang pendakwa raya yang mahir pun tidak dapat melaksanakan tugas tanpa sokongan agensi penyiasatan yang beretika.

Manakala seorang hakim hanya bertindak sebagai pengadil di bawah undang-undang negara untuk memutuskan sama ada pendakwa telah memenuhi keperluan untuk mensabitkan orang yang didakwa.

Beliau menegaskan, hakim tidak mempunyai peranan sebagai penyiasat untuk mengetahui kebenaran.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast