KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan yang berdepan dengan tuduhan menggunakan penyata bank palsu atas nama syarikat miliknya mengaku tidak bersalah dan mahu dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh, Ahmad Faiz Fikrey Izani didakwa telah menggunakan dokumen palsu iaitu satu set penyata bank Maybank Islamic empat tahun lepas antara November dan Disember 2018.
Mengikut kertas pertuduhannya, tertuduh telah melakukan kesalahan itu Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pukul 12.01 tengah hari pada 20 Februari 2019.
Jika sabit salah, pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 akta serupa yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Ketika prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Zander Lim Wai Keong menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan agar melapor diri sebulan sekali di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Hamdan Hamzah memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya perlu menanggung keluarga serta dua anak yang masih kecil.
Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dan menetapkan 29 November ini untuk sebutan kes. – MalaysiaGazette