Wan Rosdy Pas
Wan Rosdy Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon mewakili Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai malam ini.

Pengumuman itu diadakan serentak dengan majlis pelancaran jentera bagi PRK DUN Pelangai di Dewan Majlis Perbandaran Bentong pukul 8.30 malam.

Menteri Besar yang juga Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berharap majlis tersebut dapat berjalan lancar dan teratur terutama dalam memastikan kerusi DUN Pelangai terus kekal menjadi milik BN.

“Saya berharap penduduk di DUN Pelangai terus memberi kepercayaan kepada BN seperti mana sebelum ini agar kami dapat teruskan perkhidmatan demi kemakmuran dan kesejahteraan bersama. Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Minggu lalu, Wan Rosdy mengesahkan BN Pahang menyenarai pendek empat daripada enam nama sebagai calon PRK DUN Pelangai.

PRK DUN Pelangai ditetapkan pada 7 Oktober ini berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam, 17 Ogos lalu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PRK Pelangai: Zaini, Armizar, Jamaludin atau Fazlin?