KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Rayuan Syariah perlu sentiasa meningkatkan kemahiran dan penguasaan khusus dalam bidang perundangan terutama mengaplikasikan nas syarak agar sesuai dengan keperluan semasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, eksplorasi juga perlu dibuat kepada isu terkini perundangan sama ada sivil atau syariah.
Hakim juga perlu meluaskan pembacaan kepada perundangan lain di luar bidang kuasa syariah sedia ada kerana ia mempunyai hubung kait dengan apa-apa perintah atau hukuman yang dikeluarkan kelak, katanya.
“Sebagai contoh, dalam konteks perundangan Malaysia, sesuatu perintah berkaitan hartanah dalam kes pengesahan hibah atau harta sepencarian akan bergantung kepada undang-undang sivil untuk pelaksanaan perintah berkenaan seperti Kanun Tanah Negara, Akta Probet dan Pentadbiran, Akta Pesaka Kecil, Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) dan lain-lain.
“Ini penting bagi mengelakkan terjadi perintah mahkamah yang tidak dapat dilaksanakan atau pun frustrated order lantaran adanya halangan atau kekangan pelaksanaan dari perundangan lain.
“Justeru, gesaan Saidina Umar RA agar hakim memahami kes dibicarakan di hadapannya termasuk mengambilkira semua perkara bukan sahaja terhadap fakta kes dan keterangan dikemukakan bahkan kepada halangan perundangan yang akan menjejaskan pelaksanaan perintah yang akan dikeluarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara 2023 (PKPSN 2023) di sebuah hotel di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah yang juga Ketua Hakim Syarie, Datuk Mohd Amran Mat Zain.
Menurut Dr. Mohd Na’im, tidak dapat tidak, undang-undang lain yang berhubung dengan bidang kuasa mahkamah syariah seharusnya difahami, diteliti dan dicerna sebaiknya oleh Hakim.
“Ingatlah, apabila kita silap menilai sesuatu kes, maka salahlah keputusan yang akan kita keluarkan. Lebih parah lagi apabila keputusan berkenaan tidak dapat memberi keadilan kepada pemohon, malah mendatangkan mudarat dan kesusahan kepada mereka,” katanya.
Beliau menjelaskan, dalam usaha kerajaan memperkasakan bidang kuasa dan pentadbiran mahkamah rayuan syariah, pentingnya Hakim menghasilkan alasan penghakiman berkualiti.
Ini kerana sesuatu kes atau perbicaraan yang baik hanya dapat dizahirkan melalui penulisan alasan penghakiman.
“Sebab itu, penulisan penghakiman yang berkualiti akan dapat dimanfaatkan bukan sahaja kepada komuniti perundangan, bahkan kepada masyarakat awam dalam memahami kenapa sesuatu kes diputuskan sedemikian rupa.
“Penulisan alasan penghakiman yang baik dan berkualiti tidak akan terjadi dengan sendirinya. Ia memerlukan kepada ketekunan dan praktis yang berterusan.
“Oleh itu, manfaatkan sepenuhnya masa kita di luar waktu perbicaraan dengan bantuan para pegawai penyelidik (RO) untuk menambahbaik penulisan alasan penghakiman dari semasa ke semasa,” katanya.
Menurut Dr. Mohd Na’im lagi, beliau sentiasa mengambil berat mengenai perkembangan mahkamah syariah khususnya di negara ini.
Kata beliau, mahkamah syariah telah memperlihatkan banyak perubahan dan kemajuan dan berharap usaha untuk menambah baik institusi kehakiman serta perundangan syariah sentiasa dipertingkatkan. – MalaysiaGazette