Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meneliti aduan kerisauan pengguna mengenai garis hijau dan merah jambu yang muncul pada skrin telefon pintar.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pihak berwajib perlu menitik berat aduan itu  memandangkan pemilik telefon mendakwa ia merupakan kecacatan pembuatan.

Katanya, pengguna lebih terbeban apabila peniaga meminta bayaran bagi membaiki kerosakan itu.

“Berdasarkan carian CAP menerusi dalam talian, terdapat banyak aduan yang serupa yang mana antaranya, pemilik telefon bimbit diminta membayar RM1,149.80 memandangkan perantinya yang berharga RM4,000 sudah melepasi tempoh jaminan.

Mohideen.

“Bagaimanapun, di India dan Korea, pemilik telefon bimbit diberi penggantian percuma skrin dengan satu laporan menyatakan bahawa ia adalah percuma walaupun tempoh jaminan sudah tamat.

“Jika pusat servis di India mampu menyediakan penggantian skrin percuma, mengapa Malaysia tidak boleh melakukan perkara yang sama?” soalnya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Tambah Mohideen, KPDN perlu mencontohi negara yang menguatkuasakan penarikan balik bagi produk yang rosak kerana ia sangat tidak adil kepada pengguna.

“Ia adalah kecacatan yang wujud dan menunggu masa sahaja untuk muncul walaupun bukan melalui penyalahgunaan atau kelusuhan biasa.

“Selain itu, pengilang masing-masing melakukan pembaikan secara percuma kerana ia adalah kecacatan produk atau pembuatan.

“KPDN juga perlu mengambil langkah bagi memastikan pengeluar tidak memaksa pemilik telefon bagi membayar menggunakan poket mereka sendiri, walaupun sudah melewati tempoh jaminan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast