MELAKA – Nasib malang menimpa seorang pelajar sekolah tingkatan tiga di sini apabila dirogol bergilir-gilir dua warga Rohingya berusia 14 dan 27 tahun yang baharu sehari dikenalinya melalui aplikasi WhatsApp minggu lalu.
Kejadian berlaku ketika mangsa berusia 15 tahun keluar bertemu suspek remaja pertama untuk bersiar-siar menaiki sebuah motosikal sekitar Klebang di sini kira-kira pukul 4 petang pada 14 September lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, mereka kemudian bertemu dengan rakan senegara suspek berusia 27 tahun di sebuah restoran dan menaiki sebuah kereta jenis Proton Preve milik warga tempatan.
“Selepas selesai bersiar-siar, mangsa mendakwa dirogol kedua-dua suspek di dalam kereta berkenaan di kawasan pantai Klebang sebelum ditinggalkan di padang permainan di Batu Berendam antara pukul 2 hingga 3 pagi.
“Pelajar malang itu kemudian dijumpai abangnya berusia 22 tahun yang keluar mencari adiknya itu bersama rakan-rakan selepas mendapati dia tidak pulang ke rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, abang mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Batang Tiga pada 15 September lalu dan pemeriksaan pakar perubatan Hospital Melaka mendapati terdapat kesan koyakan baharu pada kemaluan mangsa.
Kedua-dua suspek yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kemudian berjaya ditahan pada hari sama dan direman selama tujuh hari sehingga 21 September ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun sehingga 20 tahun dan dikenakan sebat jika sabit kesalahan,” katanya.
Untuk rekod, pada 4 Januari lalu, polis menahan seorang lelaki warga Rohingya berusia 35 tahun kerana mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang juga anak jirannya di Semabok.
Suspek didakwa beberapa kali bertindak meraba payudara kiri mangsa sambil menyatakan mahu melakukan hubungan seks. – MalaysiaGazette