Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli beras tempatan menerusi program Jualan Beras Putih Tempatan dan Agro Madani di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pokok Sena di sini, hari ini.

KEPALA BATAS – “Susah sungguh cari beras sekarang, hampir dua minggu kawasan sekitar sini tiada bekalan beras tempatan”.

Demikian luah Idris Che Med, 65, yang menjadi individu pertama beratur bagi membeli beras tempatan pada program Jualan Beras Putih Tempatan dan Agro Madani di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pokok Sena di sini hari ini.

Menurut pesara kerajaan itu, dia beratur seawal 7.30 pagi meskipun mengetahui jualan beras akan berlangsung pukul 9 pagi.

Idris.

“Bekalan beras di rumah saya hampir habis dan kami tak mampu nak beli beras import kerana harganya jauh beza dengan beras tempatan itu mencecah RM50 ke atas bagi sekampit beras lima kilogram (kg).

“Kami tujuh sekeluarga termasuk dua cucu semestinya memerlukan makanan ruji itu untuk kehidupan seharian dan apabila bekalan beras itu sukar diperoleh sedikit sebanyak mengganggu termasuk meningkatkan kos sara hidup.

“Jadi bila tahu ada jualan beras tempatan hari ini, saya datang awal untuk memastikan tidak terlepas peluang membelinya meskipun kediaman saya terletak kira-kira tiga kilometer dari PPK ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bagi, Fatimah Ismail, 60, dia terpaksa meminta kebenaran keluar daripada majikannya untuk mendapatkan bekalan beras tempatan menerusi jualan di PPK berkenaan.

Fatimah.

“Suami saya OKU (Orang Kelainan Upaya jadi saya terpaksa meminta kebenaran keluar sekejap daripada majikan untuk datang membeli beras hari ini.

“Pendapatan saya sebagai tukang cuci tidak seberapa jadi bila ada jualan sebegini memang sangat meringankan beban kami tambah pula beras tempatan kini sukar diperoleh,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Datuk Seri Mohamad Sabu merasmikan program Jualan Beras Putih Tempatan dan Agro Madani di PPK Pokok Sena di sini hari ini.

Menerusi program itu, sebanyak 20 tan beras tempatan dijual dalam tempoh sejam setengah.

Sementara itu, Ismail Ishak, 54, mengharapkan program sebegini diadakan sekurang-kira hanya dua kali sebulan bagi meringankan beban rakyat yang kini dihimpit dengan kenaikan kos sara hidup. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bekalan beras tempatan stabil sebulan lagi – Mat Sabu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast