Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Satu sindiket penipuan Love Scam yang memperdaya dan melesapkan wang mangsa menerusi media sosial berjaya ditumpaskan polis.

Seramai sembilan individu yang disyaki ahli sindiket itu telah diberkas pada 19 September lalu di ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, sepasukan Polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur bersama-sama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi telah membuat serbuan ke atas tiga unit kediaman di Jalan P. Ramlee di sini baru-baru ini.

“Dalam serbuan tersebut, seramai sembilan individu yang terdiri daripada lapan orang lelaki dan seorang wanita warga asing telah berjaya diberkas ditangkap kerana disyaki terlibat dengan sindiket Love Scam.

“Menerusi hasil serbuan di ketiga-tiga lokasi berkenaan, polis telah merampas sebanyak 24 unit telefon bimbit, tujuh set komputer riba, senaskah skrip perbualan yang digunakan untuk memperdaya mangsa, 35 simkad pelbagai Telco dan beberapa dokumen berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Allaudeen menambah kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan sebatan dan juga denda jika disabitkan kesalahan.

Siasatan awal polis mendapati terdapat unsur-unsur penipuan menggunakan platform Facebook, Tinder, Instagram dan WhatsApp.

“Modus operandi sindiket penipuan itu menggunakan gambar profil dari media sosial dari luar negara yang berbeza dan menipu mangsa dengan menggunakan ayat-ayat cinta melalui skrip yang disediakan.

“Sindiket ini menyasarkan mangsa dari Malaysia, Singapura dan China dan mangsa-mangsa yang terpedaya diarahkan untuk membuat pindahan wang ke akaun bank dalam dan luar negara,” ujarnya.

Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dalam menggunakan laman sosial dan juga diminta untuk membuat semakan melalui htpp://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu sebelum membuat bayaran ke akaun yang tidak dikenali.

Sebarang aktiviti yang mencurigakan, orang ramai boleh menyalurkan maklumat terus ke Bilik Gerakan Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/ 0585 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan. -MalaysiaGazette