Pengerusi Penganjur 100MIYE, Datuk KK Chua.

KUALA LUMPUR – Anugerah 100 Most Influential Young Entrepreneurs (100MIYE) kembali buat kali kelapan untuk  memberi pengiktarafan kepada usahawan muda paling berpengaruh dengan menyasarkan lebih 500 penyertaan pada tahun ini.

Majlis anugerah anjuran majalah Majalah Entrepreneur Insight terbitan Armani Media Group Berhad akan berlangsung di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur pada November ini.

Pengerusi Penganjur 100MIYE, Datuk KK Chua berkata, anugerah itu mengiktiraf usahawan muda di negara ini yang berani, kreatif dan inovatif sebagai piawaian semangat keusahawanan Malaysia dalam pelbagai bidang dan industri yang mereka ceburi.

Untuk  anugerah tahun ini, beliau berkata, penganjur mahu meletakkan 100MIYE pada tahap yang lebih tinggi iaitu dengan menaik taraf kejayaan yang lebih berganda merangkumi kemahiran dan gaya pemikiran usahawan.

“Bagi membantu usahawan menuju ke arah itu, kami akan mengadakan konvensyen usahawan Bumiputera untuk menggandakan lagi kejayaan perniagaan mereka.

“Kami juga mahu menjadikan mereka komuniti yang saling membantu menerusi rangkaian hubungan (networking) masing-masing dengan bertukar pendapat bagi melahirkan idea baru,” katanya pada sidang media 100MIYE semalam.

Mengulas lanjut, Chua menambah, sejak 100MIYE diadakan pada tahun 2016, anugerah itu tidak pernah gagal  meraikan usahawan muda yang sentiasa bekerja  keras untuk berjaya, berani mengambil risiko, menjadi ketua, pemimpin dan majikan yang dihormati pekerja.

Jelas beliau, semua kriteria yang disebutkan itu perlu ada dalam diri setiap usahawan kerana kejayaan itu bukan semata-mata berpaksi kepada dirinya sendiri tetapi sokongan daripada orang di sekelilingnya.

“Mereka juga pasti akan sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran baru dan persaingan.

“Hanya mereka yang mempunyai sikap yang betul, keazaman dan kesungguhan dalam perniagaan yang diusahakan akan beroleh kejayaan,” katanya.

Chua memberitahu, antara kriteria kelayakan 100MIYE adalah calon mestilah berusia 45 tahun dan ke bawah di mana terbuka kepada lelaki dan wanita.

Jelas beliau, calon juga mestilah berjawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) atau Pengarah Urusan.

“Calon mesti berada di dalam pengurusan syarikat minimum dua tahun dan memiliki kepentingan kawalan majoriti syarikat. Selain itu, syarikat mestilah mengusahakan perniagaan yang sah dan perolehan tahunan sebanyak RM3 juta dan ke atas,” katanya.

Sementara itu, idea cetusan menganjurkan kan 100MIYE ini  bermula dengan kejayaan majalah keusahawan iaitu Entrepreneurial Insight yang kini adalah majalah keusahawanan terlaris nombor satu di Malaysia.

Setiap tahun penganjur menerima lebih daripada 1,000 penyertaan untuk 100MIYE dan hanya memilih mereka yang terbaik.

Sepanjang perjalanan selama lapan tahun ini, penganjur telah berjaya memupuk hubungan dan persahabatan yang sangat baik di kalangan usahawan.

Secara tidak langsung, ia membuktikan  Anugerah 100 MIYE bukan hanya satu pengiktirafan kepada usahawan tetapi lebih daripada itu kerana ia turut menyediakan platform dan jaringan perhubungan bagi membantu membina hubungan yang kukuh dalam masyarakat perniagaan. – MalaysiaGazette