Mohd Khairil menunjukkan proses mencipta sendiri wangian dan aromaterapi menggunakan formulasi sendiri di The Sutra Gallery, Masjid Tanah pada harga serendah RM10.

ALOR GAJAH – Pecinta wangian dan aromaterapi kini berpeluang mencipta formulasi sendiri daripada puluhan jenis minyak pati dan ekstrak herba pada harga serendah RM10.

Itu antara produk berkonsepkan eco-pelancongan ditawarkan pengilang dan pengeluar terkenal, Tropical Bioessence Sdn Bhd (TBESB) melalui The Sutra Gallery di Masjid Tanah, di sini, yang mula beroperasi bulan ini.

Pengarah Urusannya, Mohd Khairil Said berkata, pembukaan galeri tersebut adalah pencapaian terbaik syarikat selama 16 tahun yang telah mengekalkan tiga kategori produk iaitu aromaterapi, wangian dan barangan penjagaan diri.

“Sebagai sebuah negeri pelancongan, kami mahu berikan kelainan di Melaka dengan menyediakan lebih 20 jenis pati dan ekstrak herba untuk pelanggan cuba menjadi ‘saintis’ mencipta sendiri formulasi mereka.

“Setiap pati ini mempunyai ciri-ciri perubatannya yang tersendiri sebab itu ia bukan sahaja sekadar memberikan bau tapi juga dapat memperbaiki kesihatan mental, jiwa dan minda yang berbeza bagi setiap individu,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Menurutnya, untuk wangian atau aromaterapi bersaiz botol 10 mililiter, harga ditawarkan hanya RM10 dan pelanggan boleh datang untuk mencubanya di Sutra Gallery setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 8.30 pagi hingga 5 petang manakala sehingga 1 tengah hari pada Sabtu.

“Dengan adanya aktiviti ini, pengunjung akan lebih mudah memahami apakah itu minyak pati yang terhasil melalui proses penyulingan ke atas daun, bunga dan buah,” katanya pernah bertugas sebagai pegawai penyelidik di Perbadanan Bioteknologi Melaka.

Antara lebih 70 jenis produk daripada ekstrak botanikal, minyak pati daripada tumbuhan perubatan dan aromatik serta produk hiliran lain yang dijual di The Sutra Gallery, Masjid Tanah, Melaka.

Selain itu, Mohd Khairil berkata, galeri itu juga menjual lebih 70 jenis produk daripada ekstrak botanikal, minyak pati daripada tumbuhan perubatan dan aromatik serta produk hiliran lain.

Menurutnya, setiap satu produk Sutra dapat membantu mengurangkan masalah tekanan fizikal dan emosi, depression dan anxiety yang kini semakin ramai berlaku dalam kalangan masyarakat.

“Setiap satu produk Sutra mempunyai pelbagai fungsi serta kumpulan sasara termasuk ibu dan bayi, remaja, dewasa, mereka yang mengalami pelbagai masalah kulit, sakit sendi serta kesukaran untuk tidur,” katanya.

TBESB adalah syarikat bersatus Bio Nexus, iaitu pengiktirafan daripada Bioteknologi Malaysia (Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi) hampir 15 tahun lalu dan mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast