KUALA LUMPUR – Mendekati usia 28 tahun perjalanan karier di dalam bidang seni suara, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza kini tampil dengan album solo ke-20 berjudul Sitism. Album yang pertama kali dilancarkan secara digital mengandungi lapan buah lagu pada 30 Jun lalu dan lengkap 12 lagu sepenuhnya pada 8 September lalu.
Album ini mempunyai makna yang tersendiri bagi Siti kerana beliau dapat bekerjasama dengan penerbit, pencipta lagu dan penulis lirik lama dan baharu sebagai formula utama penerbitannya.
Gabungan ini telah memberikan warna tersendiri bagi Sitism dan dapat memenuhi citarasa peminat Siti yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia.
Judul Sitism dipilih daripada nama Siti Nurhaliza iaitu Siti dan imbuhan `ism’ pula adalah istilah linguistik yang digunakan untuk membentuk kata nama bagi melambangkan kualiti, keadaan, ideologi atau hala tuju album.
Apabila nama Siti dan imbuhan `ism’ ini digabungkan, Sitism membentuk kata nama yang mewakili ciri-ciri tertentu yang ada di dalam tersebut.
Sitism atau Siti-ism bagi menggambarkan Siti Nurhaliza kerana apabila Siti menyanyi, ciri khas, gaya, kualiti dan suara yang dimiliki penyanyi itu unik serta senang dikenali bahawa itulah Siti Nurhaliza.
Siti yang berusia 44 tahun memilih tarikh semalam sebagai tarikh pelancaran album beliau ke-20 sebagai simbolik angka tersebut bersamaan dengan jumlah album solo yang telah dihasilkannya.
Walaupun berjarak hampir dua bulan pelancaran album Sitism dan album Sitism edisi deluxe dengan penambahan empat buah lagu, Siti dapat memperomosikan lebih banyak lagu sebelum muncul album lengkap.
Ini merupakan salah satu strategi untuk memberikan peluang kepada para peminat, para pencinta muzik, stesen radio dan stesen televisyen menumpukan kepada lagu-lagu dari album Sitism yang dilancarkan pada bulan Jun dan kini beliau dapat menyambung promosi dengan edisi deluxe pula.
Tambah Siti yang merupakan ibu kepada sepasang anak, album Sitism menggambarkan diri beliau seiring dengan peredaran masa dan perkembangan muzik yang dipaparkan menerusi muzik, lirik, imej serta persembahan vokal.
Pada detik ini, beliau memilih untuk terus menghasilkan album yang terbaik di samping dapat mengangkat karya insan seni lama dan baharu. Menjadi satu tanggungjawab kepada beliau untuk menghargai setiap bakat yang ada dan tentunya penerbitan album merupakan salah satu platform tersebut.
Album Sitism bertambah istimewa apabila Siti mengundang penyanyi rock legenda, Datuk Awie untuk berduet dalam lagu bergenre tradisional moden, Kalau Berkasih. Ini merupakan penampilan pertama Awie merakamkan lagu tradisional dan tentunya gandingan dua penyanyi ternama ini dapat mengangkat muzik tradisional kepada seluruh lapisan masyarakat.
Lagu-lagu di dalam album Sitism sehingga kini telah mendapat 1.6 juta strim sejak dilancarkan sehingga pertengahan September ini. Album terbitan Universal Music Malaysia dan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd. ini turut dikeluarkan dalam bentuk fizikal.
Album fizikal ini juga turut dijual di kedai pengedar terpilih dalam jumlah terhad.
Sitism memuatkan 12 buah lagu iaitu Menyapa Dunia (Melly Goeslaw / Melly Goeslaw), Tanpa Diri-Mu (Luca Sickta / Luca Sickta & Siti Nurhaliza), Sehebat Matahari (Aubrey Suwito / Rozisangdewi), Ganti (Mingaling & Nuha Nik / Amir Hasan & Nuha Nik), Romansa KIta (Sharon Paul / Rozisangdewi) dan Teratas (Tomok & Rudy Nastia / Fedtri Yahya), Menjaga Cintamu (Andi Rianto / Sekar Ayu Asmara) dan Magis (Mas Dewangga & Jova Devito / Mas Dewangga & Jova Devito & Aden King), Senyawa (Farouk Roman / Senna), Kalau Berkasih (Glowrush & Tam Cobain & Mike Chan), Nadi (Mim Hamzah & Illi Diyana) dan Kusedari (Dato’ Sri Siti Nurhaliza / Habsah Hassan. – MalaysiaGazette