Pengarah Operasi Pemasaran, Harmony Excellence Holidays, Abu Talib Husin bergambar setelah selesai bercakap kepada media mengenai trend umat islam yang kini gemar menunaikan umrah di Tanah Suci selama sebulan lebih di Bangunan Harmony Excellence Holidays, KL. Foto QURRATU AINI, 21 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Mengejar pahala dengan mengerjakan umrah lebih sebulan di Tanah Suci Mekah terutama di bulan mulia Ramadan adalah satu nikmat yang tidak tergambar dengan kata-kata.

Apa tidaknya, ia memberi pengalaman berbeza buatnya kerana berpeluang menjadi tetamu Allah SWT selain berjauhan dengan keluarga demi ibadah.

Malah jemaah juga perlu turut membuat persiapan fizikal dan mental untuk menunaikan ibadah umrah untuk tempoh yang lama di sana iaitu kira-kira sebulan berbanding umrah biasa selama 12 hari.

Namun ia bukan halangan kerana trend itu kini menjadi semakin popular terutamanya dalam kalangan mereka berusia 50 tahun ke atas.

Ia bermula dengan pakej selama 35 hingga 50 hari dengan harga bermula RM10,090 hingga RM13,990 sahaja.

Dikenali Pakej Ramadan Iktikaf pada musim baharu umrah ini, Harmony Excellence Holidays (Harmony Holidays) menyasarkan dapat menerbangkan seramai 1,000 jemaah pada Ramadan tahun depan.

Pengarah operasinya, Abu Talib Husin berkata, sasaran itu berdasarkan sambutan luar biasa yang diterima pada musim umrah tahun lalu seramai 450 orang jemaah.

Menurut beliau, pakej itu diperkenal tahun lalu selepas berakhirnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) gara-gara pandemik Covid-19 di mana permintaan jemaah ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah mula meningkat.

“Semuanya bermula suka-suka dan sebagai permulaan bekerjaan dengan salah satu pengurus umrah juga dan pada masa sama, kami belajar untuk mengendalikan.

“Untuk tahun kedua, kami telah bergerak sendiri dengan membawa 450 jemaah pada Ramadan lalu dan permintaan terus meningkat kerana atas faktor suasana yang berbeza pada bulan Ramadan di Tanah Suci,” katanya ketika ditemubual MalaysiaGazette di sini hari ini.

Pengarah Operasi Pemasaran, Harmony Excellence Holidays, Abu Talib Husin bercakap kepada media mengenai trend umat islam yang kini gemar menunaikan umrah di Tanah Suci selama sebulan lebih di Bangunan Harmony Excellence Holidays, KL. Foto QURRATU AINI, 21 SEPTEMBER 2023.

Abu Talib menambah, apa yang mengejutkan, sambutan daripada jemaah amat menggalakkan dan mereka berhasrat lagi menunaikan umrah untuk tempoh lebih sebulan pada bulan Ramadan.

Namun beliau mengakui cabaran perlu dihadapi oleh pihaknya kerana perlu menguruskan kesihatan, pengangkutan dan makanan untuk tempoh lama buat jemaah di sana yang perlu diambilkira.

Kata beliau, ia berbeza dengan aktiviti harian jemaah yang boleh diuruskan oleh mutawwif.

“Bagi memberikan perkhidmatan terbaik, kami telah mengendalikan secara sistematik terutamanya untuk memastikan keselesaan golongan warga emas yang sudah berusia dari segi pergerakan hotel ke Masjidil Haram selain naik turun bas.

“Jadi bila kami susun atur, kerisauan jemaah itu terus hilang malah mereka bertambah seronok apabila sudah mahir bergerak secara sendirian atau Kumpulan mereka dalam tempoh seminggu sahaja dan tidak memerlukan bantuan kami lagi.

“Para jemaah sudah tahu bergerak ke sana sini untuk pergi pasar untuk membeli bang kerana ada yang masak ringkas. Tapi di sana, makanan tidak menjadi masalah kerana ramai sangat orang berinfak di bulan Ramadan dan berebut untuk beri orang lain makan berbuka puasa.

“Insya-Allah, kalau duduk di Masjidil Haram sepanjang bulan Ramadan tiada isu untuk menu berbuka puasa dan sentiasa ada namun tidaklah mewah tetapi cukup sekadarnya,” katanya.

Pengarah Operasi Pemasaran, Harmony Excellence Holidays, Abu Talib Husin bergambar setelah selesai bercakap kepada media mengenai trend umat islam yang kini gemar menunaikan umrah di Tanah Suci selama sebulan lebih di Bangunan Harmony Excellence Holidays, KL. Foto QURRATU AINI, 21 SEPTEMBER 2023.

Abu Talib memberitahu, untuk Pakej Iktikaf Ramadan, Harmony Holidays telah memajak hotel di Mekah kerana ia memberi banyak manfaat walaupun memerlukan peruntukan yang berbesar.

Jelas beliau, atas faktor itu, pajakan hotel hanya difokuskan pada Ramadan manakala bulan lain atas kerjasama strategik.

“Bagi bulan biasa kami tidak memajak hotel dan mempunyai strategi lain apabila menjalinkan kolaborasi dengan hotel-hotel di Arab Saudi.

“Apa yang membanggakan atas prestasi yang baik dan tiada rekod buruk di mana bayaran cantik di kalangan pengelola hotel di sana dan telah mempunyai hubungan baik dengan mereka.

“Alhamdulillah, ke mana-mana Harmony Holidays pergi kami disantuni dengan baik,” katanya yang mengakui memerlukan kesabaran tinggi berurusan dengan orang Arab di sana yang gemar membuat keputusan lain secara tiba-tiba.

Mengakhiri perbualan, Abi Talib mengajak umat Islam menunaikan umrah lebih sebulan di Tanah Suci kerana tempoh 35 hari hingga 50 hari mampu membentuk sikap individu yang luar biasa.

Kata beliau, apatah lagi harga Pakej Iktikaf Ramadan itu mampu milik dan tidak jauh berbeza dengan harga pakej umrah pada bulan biasa.

“Bayangkan baru sampai di KLIA dan ada jemaah yang menangis dan memberitahu hendak pergi lagi pada tahun depan dan belum lagi pun bertemu anak-anak yang menunggu di pintu ketibaan.

“Percayalah Allah akan ganti banyak bagi bercuti lama tanpa gaji. Ada jemaah di sana pulang Pakej Iktikaf Ramadan dapat berita gembira kerana mendapat panggilan menunaikan haji kerana setiap hari dia berdoa ketika sebulan lebih berada di sana,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast