Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September lalu atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram. Foto MUHD NA’IM

Fasal (3) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa budi bicara kepada Peguam Negara dalam hal pendakwaan, iaitu untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan (selain prosiding di hadapan mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera).

Kuasa budi bicara Peguam Negara tersebut yang tidak boleh dipersoalkan merupakan prinsip undang-undang yang mantap (trite law) yang telah diputuskan secara konsisten dalam kes-kes mahkamah tertinggi di negara ini seperti dalam kes-kes Long bin Samat v. PP [1974] 2 MLJ 152 dan Johnson Tan Han Seng v. PP [1977] 2 MLJ 66, PP v Zainuddin & Anor [1986] 2 MLJ 100 dan Karpal Singh & Anor v PP [1991] 2 MLJ 544.

Rakyat perlu yakin dengan pelaksanaan kuasa budi bicara oleh Peguam Negara kerana Peguam Negara adalah pakar undang-undang dari kalangan profesional yang tidak menggunakan kuasanya dengan sewenang-wenangnya tetapi hanya setelah beliau mengambil kira keadilan kepada semua pihak dan demi pentadbiran keadilan (administration of justice) itu sendiri.

Rakyat tidak perlu meragui bahawa Peguam Negara sentiasa bertindak berdasarkan prinsip rule of law. Ini kerana Peguam Negara merupakan pihak yang mempunyai kedudukan paling baik (in the best position) dalam membuat apa-apa keputusan berkenaan sesuatu pertuduhan berdasarkan kepada pelbagai faktor, antara lainnya, kerana hanya Peguam Negara yang mempunyai akses kepada laporan-laporan daripada agensi penyiasatan serta representasi-representasi yang dikemukakan.

Justeru, adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak membuat tuduhan yang tidak berasas malah menarik Peguam Negara ke dalam kancah politik untuk kepentingan masing-masing. Ini kerana prinsip asas Peguam Negara adalah bertindak tanpa gentar atau manfaat: The “Attorney General” serves as the custodian of prosecutorial authority and the guardian of public interest, acting without fear or favour”.

Selain Fasal (3) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan (yang merangkumi kuasa untuk memberhentikan pendakwaan), subseksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] juga memperuntukkan kuasa kepada Peguam Negara (Pendakwa Raya) untuk memberhentikan sesuatu pertuduhan pada mana-mana peringkat sebelum penghakiman diberikan.

Peruntukan undang-undang yang disebut di atas jelas menunjukkan bahawa Peguam Negara boleh memberhentikan pertuduhan di mana-mana peringkat selagi penghakiman belum diberikan oleh Mahkamah dan ini termasuk juga di peringkat selepas kes prima facie telah dibuktikan.

Seperti yang dimaklumi, pada 4 September 2023, dalam kes yang melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, pihak pendakwaan telah memohon agar prosiding kes berkenaan diberhentikan dan tertuduh diberikan perintah untuk dilepaskan tanpa dibebaskan (discharge not amounting to an acquittal) atau DNAA. Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan tertuduh telah dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) setelah mempertimbangkan 11 alasan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan hujahan yang dikemukakan oleh peguam bela tertuduh.

Dalam kes ini dan juga kes-kes lain, Peguam Negara tidak secara mudahnya memberikan persetujuan untuk memohon DNAA apabila menerima sesuatu representasi. Ini kerana Peguam Negara selaku the custodian of prosecutorial authority and guardian of public interest perlu menimbangkan banyak perkara dalam memutuskan untuk memohon DNAA atau apa-apa tindakan lain bergantung kepada fakta kes di hadapan beliau pada satu-satu masa.

Ini bukanlah kali pertama suatu pertuduhan itu diberhentikan selepas kes prima facie dibuktikan. Terdapat duluan (precedent) sebelum ini apabila kes pihak pendakwaan telah diberhentikan setelah kes prima facie berjaya dibuktikan ke atas tertuduh dan tertuduh diperintah membela diri di Mahkamah.

Antaranya adalah kes Pendakwa Raya lawan Siti Aisyah & Doan Thi Huong (kes pembunuhan Kim Jong Nam) di mana di dalam kes tersebut, tertuduh bernama Siti Aisyah telah diberikan perintah DNAA oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 11 Mac 2019 setelah permohonan memberhentikan kes ke atas beliau dibuat oleh pihak pendakwaan.

DNAA merupakan satu terma undang-undang yang digunapakai bagi kes-kes jenayah yang memberi erti bahawa tertuduh tidak dibebaskan sepenuhnya dan boleh dituduh kembali di Mahkamah. Permohonan DNAA ini adalah sesuatu perkara lazim dalam proses pendakwaan.

Pihak Pendakwaan akan memohon DNAA dalam beberapa situasi antara lain seperti yang berikut:
a) Ada representasi daripada peguam pihak tertuduh yang memerlukan siasatan lanjut termasuklah apabila ia melibatkan faktor-faktor kemanusiaan seperti tertuduh mengalami sakit yang sangat kronik yang disokong dengan laporan perubatan (contohnya ialah dalam kes PP v. Dato’ Abu Samah bin Abdul Wahab dalam mana tertuduh didiagnos mempunyai kanser tahap 4); atau
b) Semasa perbicaraan terdapatnya keterangan baharu yang memerlukan pertimbangan serius oleh pihak pendakwaan seperti dalam kes PP v. Tan Sri Shahrir bin Ab Samad.

Walau bagaimanapun, sekiranya tertuduh memohon untuk perintah lepas dan bebas, pihak pendakwaan lazimnya akan membantah/menentang.

Berdasarkan kes-kes tersebut, jelas bahawa ini bukanlah kali pertama Peguam Negara menggunakan kuasa budi bicara untuk memohon perintah pelepasan tanpa pembebasan kes di mahkamah.

Dalam kes melibatkan Datuk Seri Zahid Hamidi, isu pendakwaan terpilih telah dibangkitkan dalam representasi yang dikemukakan oleh beliau, maka wajarlah dakwaan ini disiasat untuk memberi keadilan kepada beliau.

Oleh itu, kuasa budi bicara Peguam Negara di bawah Fasal (3) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan tidak wajar dipersoalkan oleh mana-mana pihak kerana hal yang demikian akan mengakibatkan sukar untuk Peguam Negara melaksanakan tugasnya sebagai Pendakwa Raya.

Walau apa pun, kita perlu yakin bahawa, dengan latar belakang kukuh hasil daripada pengalaman luas beliau dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, apa-apa keputusan yang telah atau akan dibuat oleh Peguam Negara adalah bebas daripada pengaruh dan tekanan politik.

Muhammad Akmal Imran adalah lulusan ijazah undang-undang dari Universiti Utara Malaysia (UUM)

1 Komen

  1. peguam negara bukan malaikat . anak Pandir pun kalau dilantik boleh jalan . dah pernah berlaku beb . undang2 otak manusia …… mesti pilih orang kita . cukup lah tu . jangan gigit tangan yang menyuap .

Comments are closed.