JPJ buat laporan polis siasat pengguna Facebook tular maklumat palsu mengenai LKM digital JPJ di media sosial.

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuat satu laporan polis terhadap dakwaan tidak benar mengenai Lesen Kenderaan Motor (LKM) digital yang ditularkan di media sosial sejak akhir-akhir ini.

Menurut kenyataan JPJ, laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan dibuat terhadap pemilik akaun Facebook terbabit bagi mengelak perkongsian kenyataan tidak betul dan mengelirukan dilakukan pada masa hadapan.

Katanya, JPJ sedang dalam fasa interim pelaksanaan pendigitalan LKM dan Lesen Memandu Malaysia (LMM).

Jelasnya, pemilik kenderaan dan pemandu yang telah bersedia digalakkan untuk beralih daripada dokumen berbentuk fizikal kepada dokumen digital.

“Bagaimanapun, sepanjang tempoh fasa interim pelaksanaan digital ini, pemilik kenderaan dan pemandu masih diberikan pilihan sama ada untuk menggunakan LKM atau LMM dalam bentuk digital atau terus kekal menggunakan dokumen berbentuk fizikal.

“Sehubungan itu, orang ramai yang memilih menggunakan dokumen digital tidak perlu bimbang sekiranya ditahan oleh pihak agensi penguat kuasa untuk pemeriksaan kerana semua agensi penguat kuasa terbabit termasuk PDRM sudah dimaklumkan mengenai perkara itu,,” katanya sambil menambah laporan tersebut dibuat di Balai Polis Presint 7, Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, hari ini.

Terdahulu seorang wanita yang merupakan pengguna Facebook mendakwa kebenaran pemilik kenderaan menggunakan dokumen LKM atau cukai jalan digital sahaja merupakan satu pembohongan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast