KUALA LUMPUR – Penyanyi popular, Usop, meluahkan rasa kesal dengan tindakan segelintir penggiat muzik tempatan yang mengangkat individu berstatus ‘influencer’ atau pempengaruh untuk bertapak dalam industri meskipun tidak mempunyai bakat.
Katanya, sepatutnya bakat yang dicungkil menerusi uji bakat program realiti diutamakan kerana sudah melalui proses tapisan daripada juri profesional.
“Sekarang ini artis perlu bersaing dengan ‘TikTokers’ atau pempengaruh media sosial, tidak seperti saya dahulu bermula daripada program realiti dan memang sangat sukar untuk menjadi penyanyi.
“Kini, saya lihat senang sahaja seseorang itu dikenali atau diangkat sebagai artis, termasuk ‘influencer’ (pempengaruh). Melihat keadaan ini, saya rasa macam senang betul hendak menjadi artis. Ia tak sama dengan situasi saya yang perlu menjalani uji bakat,” katanya.
Ujarnya, keadaan tersebut membuatkannya berkecil hati kerana seolah-olah hasil usaha bergelar penyanyi tidak dipandang.
Bagaimanapun, Usop atau Muhamad Saiful Naim Mohd Noor tidak tergugat dengan kehadiran pempengaruh tetapi lebih kepada rasa tidak adil.
“Cuma saya tertanya-tanya kenapa industri hiburan di negara ini jadi sebegini dan kadang-kadang ada yang keluarkan lagu merepek-repek dan entah apa-apa.
“Jika dahulu penyanyi bersusah-payah keluarkan lagu yang baik, tetapi sekarang lagu merepek itu yang senang naik, malah dijemput pula ke program TV atau radio,” katanya.-MalaysiaGazette