Kok Chin (dua dari kiri) menunjukkan rantai besi yang digunakan suspek untuk mengikat mangsa pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang wanita warga Indonesia diculik dan dikurung selama 10 hari selepas suaminya yang juga warganegara sama didakwa gagal membayar hutang kepada lelaki tempatan berjumlah RM540,000.

Mangsa berusia 36 tahun itu diikat dengan rantai besi selain dicucuh dengan puntung rokok, jarum serta disebat dengan paip getah hingga mengalami kecederaan pada anggota badan.

Bagaimanapun, penderitaan mangsa berakhir apabila dia diselamatkan polis dalam operasi Op Scorpion Rantai ketika dikurung di sebuah rumah di Shah Alam, Selangor kira-kira jam 5.10 pagi pada 17 September lalu.

Kok Chin (tengah) bercakap pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, hasil siasatan mendapati mangsa datang ke negeri ini untuk bercuti sebelum dia diculik di kediaman rakannya di Relau, di sini, pada 7 September lalu.

Jelas beliau, suspek utama kemudian meminta wang tebusan daripada suami mangsa yang berada di Indonesia sebelum mangsa dilarikan serta dikurung di beberapa lokasi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Kata Kok Chin, suami mangsa membuat transaksi pembayaran berjumlah RM50,750 menerusi sebuah pengurup wang namun isterinya tidak dilepaskan sebelum suspek meminta bayaran tambahan RM540,000.

“Susulan itu, suami mangsa datang ke negara ini dan membuat laporan polis di Balai Polis Kinrara, Selangor pada 15 September lalu dengan mendakwa isterinya diculik ketika berada di Pulau Pinang.

14 suspek diberkas termasuk dua lelaki warga asing.

“Bertindak atas laporan, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dengan kerjasama Kontinjen Pulau Pinang serta Kontinjen Selangor melancarkan operasi sebelum berjaya mengesan mangsa dua hari kemudian.

“Mangsa dikatakan dikurung di sebuah rumah di Butterworth selama tiga hari kemudian di Puchong, Selangor selama empat hari dan di Shah Alam selama tiga hari sebelum diselamatkan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, hari ini.

Turut diselamatkan seorang lelaki warga Indonesia berusia 27 tahun yang dikurung dan di rumah sama.

Tambah Kok Chin, rentetan itu, antara jam 6 pagi hingga 10.30 malam, polis berjaya menahan 14 suspek termasuk dalang kes penculikan itu yang berusia 35 tahun di beberapa lokasi sekitar Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.

Kata beliau, mereka yang ditahan berusia lingkungan 23 hingga 70 tahun dan masing-masing terdiri daripada 12 lelaki tempatan dan warga asing manakala dua wanita tempatan.

Pegawai penyiasat kes, ASP Fauzi (kiri) menunjukkan jarum yang digunakan untuk mencucuk mangsa ketika dia berada dalam tahanan sindiket berkenaan.

“Kesemua mereka mempunyai peranan masing-masing bermula daripada menculik mangsa di Relau hingga dibawa dan dikurung di Shah Alam.

“Saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah, namun lima daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya.

Mengulas lanjut Kok Chin berkata, meskipun suspek mendakwa suami mangsa berhutang namun cara yang digunakan untuk mendapatkan balik bayaran tidak wajar apabila melarikan isteri lelaki itu selain meminta wang tebusan.

“Kita masih menjalankan siasatan sama ada suspek yang terlibat dalam kes ini mempunyai kaitan dengan sindiket along atau sebaliknya.

“Manakala isteri mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Siasatan berhubung kes ini masih dijalankan dan kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Culik 1961,” ujar beliau. – MalaysiaGazette