JOHOR BAHRU – Satu sindiket penyeludupan rokok putih dan kretek ditumpakn Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam empat serbuan di tiga negeri 12 September lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan)nya, Datuk Sazali Mohamad berkata, pemeriksaan dilakukan dalam serbuan oleh anggota bahagian penguatkuasaan JKDM Muar di rumah di Jerantut dan Marang (Pahang) serta Terengganu membawa penemuan dua juta batang rokok putih dan rokok kretek pelbagai jenama.
Katanya, rokok dan kretek itu bernilai RM625,000 manakala duti dan cukai berjumlah RM 2.5 juta.
“Kejayaan ini adalah hasil maklumat awam dan risikan selama dua minggu sebelum melakukan serbuan. Usaha mengesan pemilik premis-premis berkenaan sedang giat dijalankan,” katanya dalam sidang media di Menara JKDM Johor, di sini, hari ini.
Menurut Sazali, modus operandi sindiket terbabit ialah dengan menjadikan premis kediaman sebagai tempat penyimpanan rokok yang belum lulus kastam dan ia dipercayai diimport dari Indonesia, Thailand dan Vietnam.
Tambah beliau, kes kedua pula melibatkan serbuan dilakukan anggota unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM Johor dengan menahan sebuah lori semasa pemeriksaan di Tambak Johor, di sini, pada 6 September lalu.
Katanya, menerusi pemeriksaan di laluan lori perdagangan di Cawangan Eksport Bangunan Sultan Iskandar (BSI) itu telah menemukan 830,000 batang rokok putih dianggarkan bernilai RM166,000 manakala jumlah duti dan cukai pula RM564,400.
“Rokok pelbagai jenama itu dipercayai masih belum lulus kastam yang dibawa bersama dagangan lain untuk dieksport ke Singapura,” ujarnya.
Beliau memberitahu, pemandu lori berkenaan yang merupakan lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan dan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 19 September lalu sebelum dijatuhkan hukuman enam bulan penjara.
Jelasnya, modus operandi sindiket terbabit adalah tidak mengikrarkan rokok dengan niat mahu menyeludup tidak bercukai dengan menggunakan lori ke Singapura.
Beliau berkata, dua sindiket terbabit tidak mempunyai kaitan dan kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam kerana menyimpan barang-barang tidak bercukai.
“Jika sabit kesalahan boleh didenda antara 10 hingga 20 kali ganda nilai barang atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.-MalaysiaGazette