LAHAD DATU – Polis hari ini menahan suspek lelaki yang dikaitkan dengan kes pembunuhan seorang kanak-kanak di kawasan perumahan Felda Sahabat 30 dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Rohan Shah Ahmad berkata, pihaknya menahan suspek yang berumur 33 tahun itu di kawasan blok Ladang FGV PM Sahabat 41 pada 7 pagi dengan dibantu Polis Bantuan Felda.
“Suspek kemudian mendedahkan lokasi parang yang dipercayai digunakan ketika kejadian disembunyikan dan daripada pendedahan itu, anjing pengesan menemukan senjata berukuran 23 inci itu di kawasan semak tepi jalan Ladang FGV PM Sahabat 41,” menurutnya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, polis akan memohon perintah tahanan reman esok bagi melengkapkan siasatan kes.
Semalam, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tetakan di kepala, leher serta putus tapak tangan kiri dan perbuatan itu dipercayai dilakukan oleh rakan bapa tiri mangsa.
Susulan itu, polis mengesan seorang warga Indonesia Paulus Poka Lolo yang juga pekerja am ladang sawit di Felda Sahabat 30. – BERNAMA