Gambar hiasan

JERTIH – Lelaki yang hilang selepas dihanyutkan arus ketika memancing udang galah di Sungai Besut berhampiran Empangan Pengkalan Nangka dekat Kuala Besut, di sini, semalam ditemukan lemas pagi tadi.

Mayat Husin Jusoh, 46, ditemukan pada jam 7.45 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat, kira-kira 250 meter daripada tempat terakhir mangsa dilihat tenggelam.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Abdul Rozak Muhammad berkata, keluarga mangsa telah membuat pengecaman dan mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut, untuk bedah siasat.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dihentikan 9 pagi dan polis membuka kertas siasatan SDR (kematian mengejut) dan sedang menunggu laporan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam media melaporkan, Husin dari Kampung Telaga Papan, Pasir Putih, Kelantan dikhuatiri lemas ketika memancing udang galah bersama seorang rakannya, berhampiran Empangan Pengkalan Nangka (Tok Gong) pada pukul 1 pagi. – Bernama