Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh.

ALOR SETAR – Polis menahan sembilan lelaki tempatan dan warga asing yang cuba meneroka unsur nadir bumi (REE) di kawasan Kompartment 35, Hutan Simpan Rimba Teloi, Sik pada 14 September lepas.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kesemua yang berusia antara 30-an hingga 60-an itu telah didakwa di bawah Seksyen 47(1) Akta Perhutanan Negara 1984 kerana memasuki hutan simpan tanpa permit serta Seksyen 55B, Seksyen 39B, Seksyen 6(1)c dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 bagi beberapa kesalahan imigresen di Mahkamah Baling, hari ini.

“Pada 14 September, polis bersama pasukan dari Jabatan Perhutanan Negeri Kedah telah menjalankan Op Bersepadu di sekitar kawasan hutan simpan di Sik dan telah menahan tiga kenderaan di kawasan Kompartment 35.

“Turut ditahan empat lelaki tempatan, empat lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga China yang berada di situ. Siasatan awal mendapati, mereka sedang mencari lokasi untuk penerokaan REE,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua lelaki itu gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran untuk meneroka sumber REE di kawasan berkenaan, selain tidak mempunyai surat kebenaran untuk memasuki Hutan Simpan Rimba Teloi.

“Lima warga asing ini masuk ke negara menggunakan pas kerja, bagaimanapun pas kerja berkenaan bukan untuk bekerja di Kedah, jadi mereka telah menyalahgunakan pas kerja berkenaan.

“Kita percaya, mereka telah masuk ke kawasan berkenaan sejak empat bulan lepas untuk mencari REE. Kerja-kerja yang dilakukan masih diperingkat awal dan ia tidak ada kena mengena dengan REE di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fisol berkata, polis menahan seorang lelaki tempatan bersama lapan individu warga Myanmar, di Changlun pada Rabu lepas, sekali gus berjaya menumpaskan satu aktiviti penyeludupan migran.

“Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu dan Balai ICQS (Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan) Bukit Kayu Hitam telah menahan sebuah kereta jenis Perodua Axia di Taman Hosba, Changlun pada 5 petang.

“Semakan mendapati, seorang lelaki tempatan dipercayai tekong berada di dalam kereta berkenaan bersama tiga wanita, seorang lelaki dan seorang kanak-kanak lelaki warga Myanmar, kesemuanya berusia antara lima hingga 37 tahun yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Hasil maklumat, kira-kira 5.45 petang hari sama, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita warga Myanmar di kawasan kebun getah Kampung Cherok Mokan, Changlun yang disyaki menjadi transit untuk warga Myanmar yang baru masuk ke Malaysia,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1959/63. – Bernama