Kenderaan turut musnah dalam letupan gudang bahan api di Beinin. Foto FB The World Today

COTONOU – Kerajaan Benin telah mengarahkan penilaian semua kemudahan penyimpanan bahan api susulan letupan maut yang mengorbankan berpuluh-puluh orang pada hujung minggu.

Sekurang-kurangnya 34 orang terbunuh pada hari Sabtu lalu selepas letupan di gudang bahan api di selatan Benin.

“Penilaian menyeluruh ini untuk mengelakkan kejadian serupa daripada berlaku di kawasan lain.

“Walaupun usaha meningkatkan kesedaran dan langkah-langkah keselamatan diambil oleh kerajaan untuk mengehadkan aktiviti penyeludupan, terutamanya yang dikaitkan dengan penyimpanan dan penjualan petrol di seluruh negara, namun pihak tertentu terus menyimpan petrol di tempat yang tidak sepatutnya,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Desentralisasi dan Tadbir Urus.

Dalam kejadian pada Sabtu lalu, sebuah gudang petrol di kawasan pasar yang padat penduduk meletup.

Tragedi di bandar selatan Seme Podji berhampiran sempadan dengan Nigeria itu mengakibatkan 34 orang maut.

Menteri Dalam Negeri Benin, Alassane Seidou memberitahu dua bayi adalah antara yang terbunuh dalam kejadian itu.

Sekurang-kurangnya 20 orang lagi cedera dan sedang dirawat di hospital. – Agensi