TAIPEI – Angka kematian akibat kebakaran di sebuah kilang bola golf di selatan Taiwan pada hujung minggu telah meningkat kepada sekurang-kurangnya sembilan orang.
Mereka termasuk empat anggota bomba yang maut.
Kebakaran yang bermula pada petang Jumaat dan marak sepanjang malam itu turut mencederakan lebih 100 orang, kebanyakannya pekerja di kilang tersebut.
Seorang masih dilaporkan hilang dalam kebakaran yang berlaku di daerah Pingtung itu.
Agensi Berita Taiwan yang memetik pegawai bomba berkata, letupan menyebabkan sebahagian bangunan itu runtuh kira-kira 6.10 petang Jumaat, memerangkap anggota bomba dan pekerja di bawah runtuhan.
Letupan kedua menyusul 20 minit kemudian.
Punca kebakaran masih tidak jelas.
Namun, bomba mengesyaki bahan kimia peroksida yang disimpan di dalam kilang itu mungkin menjadi punca satu letupan besar dan beberapa letupan yang lebih kecil.
Launch Technologies, pemilik kilang itu, ialah pembekal bola golf utama global.
Syarikat Launch Technologies, yang disenaraikan di Taipei Exchange, menghasilkan kira-kira 260 juta bola golf tahun lepas, menyumbang satu per lima daripada jumlah global.
Kira-kira 80 peratus daripada jualannya adalah di Amerika Syarikat, menurut agensi berita itu.
Kementerian Buruh Taiwan akan membuka kertas siasatan terhadap Launch Technologies dan syarikat induknya.
Kilang itu, yang berada dalam zon pemprosesan eksport, pernah didenda pada masa lalu kerana pelanggaran yang ditemui semasa pemeriksaan. – Agensi