Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 20 (gambar fail)

SUNGAI BESAR – Mahkamah Majistret di sini hari ini menolak permohonan seorang lelaki yang dituduh membunuh seorang wanita hamil di Jalan Sungai Limau, dekat sini, supaya dirujuk ke hospital psikiatri.

Majistret Siti Hajar Ali menolak permohonan itu atas alasan perkara itu perlu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

“Mahkamah berpendapat secara asasnya permohonan begini hendaklah diputuskan oleh hakim yang menjalankan kes ini iaitu Hakim Mahkamah Tinggi dan mahkamah ini sedar keperluan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah perlu dipatuhi.

“Mahkamah juga berpendapat penolakan permohonan pada peringkat ini tidak akan memprejudiskan hak tertuduh. Peguam pada bila-bila masa boleh membuat permohonan tersebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi yang akan menjalankan perbicaraan kes ini nanti,” katanya.

Permohonan itu dibuat peguam Muhammad Nor Tamrin, yang mewakili Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 20, pada 3 Ogos lepas.

Pada prosiding lepas, Muhammad Nor memohon mahkamah agar anak guamnya dirujuk ke hospital psikiatri berikutan hasil temu bual pihaknya bersama tertuduh mendapati keadaan mental anak guamnya dilihat tidak stabil.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Afiq Qiwamuddin Mustapha Shakri.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 November depan bagi sebutan semula kes.

Pada 1 Jun lepas, Muhammad Fakrul Aiman didakwa membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Jalan Sungai Limau, di sini, antara 8.30 malam 22 Mei dan 8 pagi, 23 Mei lepas.

Bekas penuntut kolej itu dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast