Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang bayi yang lahir pada 2023 secara purata dijangka hidup sehingga 74.8 tahun manakala seorang bayi perempuan pula boleh hidup sehingga 77.4 tahun, lebih lama berbanding bayi lelaki pada 72.5 tahun.

Jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki dan perempuan mengikut negeri bagi tempoh 2021 hingga 2023 dicatatkan di Selangor, manakala Terengganu mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir terendah pada tempoh yang sama.

Terdapat lima negeri yang mempunyai jangkaan hayat melebihi jangkaan hayat paras nasional pada 2021 hingga 2023 iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dan Sarawak.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki dan perempuan mengikut daerah pentadbiran bagi tahun 2023 dicatatkan di Petaling, Selangor (80.5 tahun) manakala Samarahan, Sarawak merekodkan jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi tahun 2022 (79.6 tahun) dan 2021 (79.8 tahun).

Kecil Lojing, Kelantan mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir terendah pada 2023 (62.8 tahun) dan 2022 (63.2 tahun) manakala Kuala Penyu, Sabah mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir terendah pada 2021 (64.2 tahun).

Secara keseluruhan, 31 daripada 156 daerah melepasi jangka hayat di peringkat nasional. Jangka hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki adalah di Petaling, Selangor (78.9 tahun) dan perempuan di Kalabakan, Sabah (82.8 tahun).

Bagi tempoh 2013 hingga 2019, jangkaan hayat ketika lahir meningkat 0.3 tahun dengan lelaki meningkat 0.2 tahun dan perempuan, 0.5 tahun.

Walau bagaimanapun, menurut beliau, bagi tahun 2020 hingga 2022, jangkaan hayat ketika lahir menurun 0.9 tahun dengan jangkaan hayat ketika lahir bagi lelaki menurun 1.0 tahun manakala perempuan menurun 0.8 tahun.

Pada tahun 2023, jangkaan hayat ketika lahir mencatatkan peningkatan 1.0 tahun berbanding 2022.

Mohd Uzir menambah, peningkatan jangkaan hayat ini disebabkan jumlah kematian pada tahun 2023 telah bertambah baik berbanding 2021 dan 2022 yang mana berlakunya lebihan kematian semasa pandemik Covid-19.

Katanya, seorang lelaki yang mencapai umur 15 dan 60 tahun pada 2023 masing-masing dijangka hidup selama 58.3 tahun dan 18.3 tahun lagi, bermakna, lelaki yang berumur 15 dan 60 tahun pada 2023 masing-masing dijangka hidup sehingga 73.3 tahun dan 68.3 tahun.

Sebaliknya, wanita dalam kumpulan umur yang sama dijangka hidup selama 63.1 tahun dan 21.1 tahun lagi, menghasilkan jangka hayat masing-masing 78.1 tahun dan 81.1 tahun.

“Cina terus mencatatkan jangkaan hayat tertinggi ketika lahir pada 2023 iaitu 77.0 tahun. Sebaliknya, jangkaan hayat ketika lahir terendah dicatatkan oleh India, 71.4 tahun pada tahun yang sama,” ujarnya. – MalaysiaGazette