Foto: Tangkap layar Twitter

ERBIL, Iraq – Sekurang-kurangnya 100 orang maut dalam insiden kebakaran di majlis perkahwinan di wilayah Nineveh di utara Iraq manakala lebih 500 lagi cedera, lapor Agensi Anadolu pada Rabu.

Insiden berlaku di Dewan Perkahwinan Al Haytham di daerah Al-Hamdaniya yang dihadiri 800 tetamu, lapor media tempatan, memetik timbalan pengarah Jabatan Kesihatan Mosul, Ahmed Hamdani.

Agensi Berita Iraq (INA) melaporkan bahawa kebakaran berpunca daripada bunga api, lilin dan bahan lain yang digunakan semasa majlis berkenaan.

Pasukan bomba dan ambulans dari wilayah berhampiran telah dihantar ke lokasi kejadian.

Menteri Dalam Negeri Abdul Amir Al-Shammari turut menuju ke wilayah itu.

Rakaman kebakaran berlaku ketika pasangan pengantin sedang menari tular di media sosial, turut memaparkan orang ramai bertempiaran lari cuba menyelamatkan diri. – Agensi Bernama-Anadolu