Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan titah pada Sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan bagi tahun 1445H / 2023M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 28 SEPTEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengajak umat Islam mengambil iktibar tentang kejatuhan serta keruntuhan tamadun dan kuasa besar dunia akibat budaya fitnah yang mendominasi dan membarah dalam kehidupan bangsa.

Baginda bertitah, perkataan yang kurang elok sama ada ketika berbicara mahupun menulis di media sosial, kata-kata berbentuk cacian, nista dan dusta serta fitnah hanya akan menggugat kestabilan dan keharmonian negara tercinta.

“Justeru, bersempena dengan Sambutan Maulidur Rasul peringkat Kebangsaan pada tahun ini, beta ingin meyeru kepada seluruh rakyat untuk bersama mencontohi akhlak warisan maknawi Rasullullah S.A.W yang amat bernilai dan istimewa.

“Marilah kita terapkan akhlak mulia dalam pertuturan dengan menutur bicara kebenaran, bersikap jujur serta menajuhi fitnah, kata-kata dusta dan pembohongan,” titah baginda pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis sambutan itu, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Mond Na’im Mokhtar.

Dalam pada itu, baginda menyeru agar umat Islam terus berpegang kepada tuntutan Allah dan ajaran yang dibawa oleh Rasullah S.A.W.

Titahnya, dengan yang demikian, rakyat akan dapat membangunkan sebuah negara yang bertamadun dan berjaya, harmoni serta sejahtera dengan rakyat dapat menjiwai sifat-sifat “karamatul Insan” (kemuliaan manusia).

“Beta optimis bahawa negara kita akan mencapai puncak kejayaan hakiki apabila syariat Islam dan nilai-nilai murni serta ketinggian akhlak yang dibawa oleh Rasullullah S.A.W menjadi tatanan (pegangan) tadbir urus negara,” titahnya.

Baginda bertitah, Maqasid Syariah juga perlu dijadikan kerangka asas dalam penyampaian perkhidmatan agar kemaslahatan rakyat yang menjadi tanggungjawab kerajaan dapat terus dipelihara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Sokong. Ekonomi negara runtuh sebab fitnah. Sumpah laknat DSNR ternyata benar dan kifarah sedang ditimpakan keatas pemfitnah.

Comments are closed.