Rusuhan yang tercetus akibat perselisihan faham sesama ahli keluarga dalam majlis kematian keluarga menyebabkan sekumpulan lelaki menyerang seorang lelaki sehingga tercedera dalam kejadian pada 14 September lalu di Bandar Botani Klang.

KUALA LUMPUR – Perselisihan faham yang tercetus dalam kalangan ahli keluarga semasa upacara kematian bertukar menjadi rusuhan yang kemudian mengakibatkan salah seorang individu cedera selepas dibelasah lima orang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pengadu  mengalami kecederaan di beberapa bahagian anggota badan dalam kejadian yang berlaku di kawasan tempat letak kereta sebuah pangsapuri Palma di Bandar Botanik, Klang pada 14 September lalu.

Katanya, Balai Polis Klang telah menerima laporan daripada mangsa lelaki warga tempatan berusia 33 tahun pada jam lebih kurang 6.31 petang yang menyatakan diserang sekumpulan lelaki.

“Menurut mangsa, pada hari yang sama jam lebih kurang 1 pagi dia telah dipukul oleh oleh beberapa orang lelaki menggunakan rotan.

“Hasil siasatan awal polis mendapati pergaduhan itu berlaku akibat perselisihan faham yang tercetus diantara ahli keluarga sewaktu pengadu menghadiri upacara kematian keluarga di Pangspuri Palma.

“Perselisihan faham itu kemudian telah bertukar menjadi rusuhan sehingga menyaksikan seramai lima orang suspek telah memukul pengadu manakala salah seorang suspek didapati menggunakan rotan dan menyerang mangsa,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.

Tambah Hoong Fong, akibat kejadian itu, pengadu telah mengalami kecederaan di bahagian kepala, tangan kiri, rusuk dan di kaki sebelum mendapatkan rawatan di hospital berhampiran.

Menurutnya, bertindak atas laporan yang diterima, Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Klang Selatan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan memiliki senjata semasa rusuhan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai lima tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

“Bermula jam 5 petang, sepasukan polis dari Cawangan D7, BSJ,IPD Klang Selatan telah berjaya membuat tangkapan ke atas enam orang lelaki warga tempatan berumur lingkungan 26 hingga 65 tahun yang disyaki bertanggungjawab melakukan jenayah tersebut.

“Hasil semakan lanjut mendapati dua suspek yang ditahan itu memiliki sekurang-kurang satu rekod jenayah lampau dan setelah selesai siasatan, kesemua suspek telah dibebaskan dengan jamin polis sementara melengkapkan kertas siasatan.

Bagaimanapun, Hoong Fong menjelaskan keempat-empat suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret dalam masa terdekat selepas mendapat arahan daripada Timbalan Pendakwaraya.

“Oleh kerana pihak polis juga mendapati video yang berkaitan kejadian rusuhan di majlis kematian itu telah tular di media sosial orang awam dinasihatkan agar berhenti menularkan video tersebut bagi mengelakkan kegusaran kepada masyarakat setempat,” tegasnya.

Dalam pada itu video tular berdurasi 51 saat itu memaparkan sekumpulan individu mengejar seorang lelaki dipercayai ahli keluarga sambil diikuti oleh beberapa ahli keluarga lain termasuk wanita yang menjerit dalam insiden itu.

Salah seorang suspek berbaju kemeja putih dilihat bertindak agresif dengan memukul mangsa menggunakan kayu dipercayai rotan sebelum lelaki itu melarikan diri sambil dikejar sehingga ke beberapa meter oleh suspek di kawasan rumah pangsapuri Palma itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast