Logo Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Penyakit berkaitan jantung kekal sebagai penyebab utama kematian dengan 18,515 kematian atau 17.0% daripada jumlah berpunca daripada penyakit berkaitan jantung.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, statistik terkini Jabatan Perangkaan Malaysia 2022 pula menunjukkan Ischaemic heart diseases mencatatkan sebab kematian kedua tertinggi di negara ini pada tahun 2021 iaitu 13.7% selepas Covid-19.

Ischaemic heart diseases juga merupakan sebab kematian utama bagi kumpulan umur 41 hingga 59 tahun (20.0%) dan 60 tahun ke atas (18.0%).

Menurutnya, sejak dua dekad yang lalu, beban penyakit berkaitan jantung telah merekodkan peningkatan daripada 11.6% pada tahun 2000 kepada 17.0% pada tahun 2020, sekali gus mengakibatkan perbelanjaan akibat penyakit jantung membebankan negara.

Berdasarkan laporan The Direct Healthcare Cost of Non-communicable Diseases in Malaysia yang dikeluarkan pada tahun 2022, pada tahun 2017 dianggarkan sebanyak RM3.93 bilion daripada jumlah keseluruhan RM9.65 bilion kos perawatan kesihatan adalah digunakan bagi perbelanjaan merawat pesakit jantung.

Tambah beliau, beban kos ini dijangka akan terus meningkat jika tindakan sewajarnya tidak diambil untuk mengawal dan mencegah penyakit tersebut.

Jelasnya, bukti saintifik menunjukkan penyakit diabetes, hipertensi, berat badan yang berlebihan serta tahap kolesterol yang tinggi menyumbang kepada peningkatan penyakit kardiovaskular.

Di samping itu, pemakanan dan amalan gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok, kurang bersenam, stres dan pengambilan alkohol juga meningkatkan risiko penyakit jantung.

“Justeru itu, Kementerian Kesihatan Malaysia sedang berusaha untuk memperkukuhkan aktiviti-aktiviti pencegahan serta pengesanan awal faktor risiko agar intervensi dan rawatan awal dapat diberikan. Di antara usaha utama yang dilakukan, adalah dengan memperkenalkan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) bermula Julai 2022 dan mensasarkan seramai 1.5 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun.

“Saringan yang dilaksanakan termasuk pengukuran Indeks Jisim Tubuh atau BMI, pemeriksaan tekanan darah, ujian paras gula dan ujian paras kolesterol. Aktiviti saringan ini dilakukan di semua Klinik Kesihatan, melalui Peka B40 atau melalui program komuniti termasuk Komuniti Sihat Perkasa Negara atau KOSPEN dan program saringan dari rumah ke rumah melalui Program Madani Afiat.

“Sejak dilancarkan pada Julai 2022, seramai 2,128,048 individu telah membuat saringan di mana seramai 1,111,568 individu menjalankan saringan pada tahun ini sehingga 27 September 2023,” kata Muhammad Radzi dalam kenyataan di sini sempena Sambutan Hari Jantung Sedunia pada setiap 29 September.

Pada tahun 2023, sambutan Hari Jantung Sedunia adalah  Kenali Jantung, Hargai Jantung

Kata beliau, KKM juga sedang memperkukuhkan aktiviti intervensi termasuk intervensi hidup secara aktif dan promosi cara hidup sihat seperti aktiviti fizikal dan senaman, makan secara sihat, berhenti merokok dan minda sihat di semua lokaliti KOSPEN dan Pusat Promosi Kesihatan Komuniti atau Wellness Hub.

“Oleh yang demikian saya menyeru kepada semua lapisan masyarakat agar mengambil kesempatan untuk membuat saringan bagi mengenalpasti risiko yang anda hadapi agar masalah penyakit jantung dapat diatasi.

“Saya juga menyeru agar semua lapisan masyarakat terus mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengambil enam langkah utama termasuk mengamalkan gaya hidup sihat, berhenti merokok, melakukan aktiviti fizikal, makan secara sihat dan seimbang, mengekalkan berat badan yang ideal dan menghindari alkohol.

“Bagi mereka yang masih merokok termasuk menggunakan rokok elektronik atau vape, anda dinasihatkan untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan berhenti merokok yang disediakan di klinik-klinik kesihatan berdekatan atau melayari laman sesawang www.jomquit.com,” ujarnya. – MalaysiaGazette