Kasim bersama ahli muslimat Pas dalam kempen  bertemu pengundi di Pasar Malam Pelangai di Bentong hari ini.

BENTONG – Dakwaan kehadiran luar biasa dan sekatan polis di lokasi kempen calon Perikatan Nasional (PN) di luar pengetahuan calonnya, Kasim Samat.

Bagaimanapun calon Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai itu berpendapat kehadiran pihak berkuasa itu tidak menjejaskan aktiviti kempen dan tidak memberi tekanan kepadanya.

”Itu (kehadiran polis) pandangan pihak tertinggi kepimpinan Pas. Mungkin ada kebenaran kehadiran mereka memantau untuk jentera parti yang bekerja di lapangan.

”Saya sebagai calon nampak banyak polis tapi tidak memberi apa-apa tekanan untuk diri calon. Untuk jentera ada yang mengadu juga tengok ramai polis berkawal. Tapi tiada sekatan polis yang dikenakan cuma bilangan kawalan anggota polis memang ramai.

”Tidak ada masalah kehadiran mereka yang ramai. Kita menyokong dan memahami kerja masing-masing,” jelasnya ketika ditemui semasa bertemu pengundi di Pasar Malam Pelangai di Bentong hari ini.

Kasim berkata, polis memberikan kerjasama yang baik kepada pihaknya dan tidak menghadapi sebarang masalah.

Malah pihaknya memahami tanggungjawab mereka menjaga keselamatan dan ketenteraman awam lebih-lebih lagi pada musim pilihan raya.

”Jentera saya yang dekat setakat ini tiada sekatan tapi mungkin di UDM lain ada sekatan, kami memahami tugasan dan menyantuni mereka di belakang.

”Mungkin berlaku tapi di luar pengetahuan saya,” kata wakil Pas itu.

Terdahulu pimpinan Pas menyatakan rasa kurang senang mereka terhadap kehadiran ‘luar biasa’ anggota polis pada setiap program dijalankan mereka.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata kehadiran tersebut menimbulkan keresahan kepada orang ramai dan tidak bagus untuk perjalanan demokrasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast