KUALA LUMPUR – Dua individi yang disyaki terlibat dengan aktiviti kereta sewa haram di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditahan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Khamis lalu.

Timbalan Pengarah JPJ Selangor, Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, siasatan mendapati ‘ulat’ berkenaan menjalan aktiviti berkenaan ke empat pelancong warga China dan Brunei.

“Cas bayaran yang dikenakan oleh kedua-dua ulat kepada pelancong berkenaan dari KLIA 2 ke sebuah hotel di Kuala Lumpur adalah sebanyak RM120 (untuk sebuah kenderaan) dan hotel di Sepang RM50 yang akan dibayar setelah sampai ke destinasi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Ahmad Kamarunzaman, siasatan juga mendapati Toyota Vellfire yang digunakan pemandu terbabit dipinjam daripada saudara suspek manakala kereta Perodua Myvi ialah milik anak pemandu itu.

Katanya, kedua-dua ulat itu yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit salah.

“Sesiapa yang didapati bersubahat melakukan aktiviti ulat ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) di bawah akta yang sama.

“Orang awam dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang  disediakan di KLIA, KLIA 2 atau pun membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing,” ujarnya.

Ahmad Kamarunzaman berkata, penguatkuasaan itu akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa dan tindakan akan diambil ke atas pemandu atau pemilik kenderaan yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram. – MalaysiaGazette