Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyerahkan semula aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang dipindahkan kepada Urusharta Jamaah Sdn. Bhd., sebuah syarikat dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan pada tahun 2018.

Menterinya, Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambilkira keupayaan dan kestabilan kewangan Tabung Haji sekarang setelah kejayaan Pelan Penstrukturan dan Pemulihan Tabung Haji.

Kata beliau, TH akan memulakan perbincangan secara rasmi bersama Kementerian Kewangan untuk langkah pentadbiran pengambilan semula asetnya.

“Kita akan terus berusaha bersungguh-sungguh untuk melonjakkan TH dengan tadbir urus integriti dan profesional demi menjaga kepentingan umat Islam dan para pendeposit.

“Keputusan yang diambil Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan ini telah membuktikan komitmen tidak berbelah bahagi kerajaan untuk memartabat Tabung Haji selaku institusi berdaya saing serta model pengurusan terbaik yang menghayati nilai Islam,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Semalam, media melaporkan Anwar berkata, kerajaan akan menyerahkan semula aset TH yang diletakkan di bawah Syarikat Bertujuan Khas (SPV) Kementerian Kewangan kepada TH.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan itu berkata, keputusan dibuat selepas MOF berpuas hati dengan isu pengurusan dan tata kelola yang berbangkit sebelum ini, selain prestasi kewangan TH yang terus memulih, khususnya selepas bergelut isu kepincangan sebelum ini.

Beliau berkata, penyerahan semula aset TH itu juga membuktikan dakwaan pihak tertentu kononnya aset TH yang diletakkan di bawah SPV sudah diserah kepada pemilikan bukan Islam adalah tidak benar sama sekali. – MalaysiaGazette