KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) hari ini menyambut kehadiran seramai 5,048 mahasiswa baharu bagi Sesi Akademik 2023/2024.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Dr. Sabri Musa berkata, pendaftaran mahasiswa ke kolej kediaman telah mula diadakan pada 30 September 2023 dengan 1,929 mahasiswa telah mendaftar.
Pendaftaran akan bersambung pada hari ini dengan anggaran seramai 2,500 mahasiswa.
“Saya mewakili pengurusan Universiti Malaya mengucapkan selamat datang kepada mahasiswa ke universiti ke-65 terbaik di dunia. Universiti Malaya merupakan pilihan yang tepat dan pengurusan Universiti mengharapkan jumlah yang lebih besar pada sesi kemasukan yang akan datang.
Menurut Anne Nerissa, yang berasal dari Gemencheh, Negeri Sembilan dan merupakan pelajar Fakutli Sastera dan Sains Sosial berkata beliau sangat gembira kerana berjaya dapat melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dan sedikit gementar kerana ini merupakan pengalaman pertamanya berjauhan dari keluarga.
Ayahnya, Peter Santhiago pula mengharapkan anaknya berjaya dan dapat mengejar cita-citanya.
Yap Rou Yi (tengah) bersama ibu dan bapanya. Yap Rou Yi (tengah) bersama ibu dan bapanya.Chong Siew Lee, ibu kepada mahasiswa yang berasal dari Johor, Yap Rou Yi, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat berkata, Universiti Malaya merupakan pilihan pertama anaknya dan beliau mengharapkan anaknya seronok menjalani kehidupan di kampus dan memperoleh kerja yang baik dan dapat memberi sumbangan kepada UM.
Sementara itu, Muhammad Hariz Hakimi Nahrizul Adib turut bersyukur kerana berjaya menjejakkan kaki ke universiti terbaik negara ini dan semakin mendekati cita-citanya.
“Ibu saya juga sangat gembira kerana beliau juga merupakan alumni Fakulti Kejuruteraan pada tahun 2001.
“Alamat di kad pengenalan saya ialah Kolej Kediaman Kedua UM kerana ayah saya pernah berkhidmat sebagai Pengetua di sini pada tahun 2014 hingga 2017.
“Kebetulan saya juga ditempatkan di sini untuk penginapan sepanjang tahun pertama pengajian saya ini.
“Saya masih teringat pernah bermain rollerblade di gelanggang tenis di sini semasa kecil dahulu,” menurut Muhammad Hariz yang akan mengikuti pengajian kejuruteraan awam, Fakulti Kejuruteraan di UM. – MalaysiaGazette