Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar beramah mesra bersama penduduk dan golongan asnaf pada Program Santunan Kasih Asnaf MAIWP di Perumahan Awam Sri Kota, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 02 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Bantuan Keperluan Asasi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan dinaikkan kepada RM300 sebulan bermula tahun hadapan berbanding RM150 sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kenaikan itu selaras dengan peningkatan kos sara hidup serta barangan keperluan pada masa ini.

“Insyallah bantuan keperluan asasi MAIWP yang saya sebutkan tadi tu, sebanyak RM150 akan dinaikkan kepada RM300 pada tahun dan ia melibatkan RM108 juta setahun dengan kenaikan peruntukkan sekali ganda berbanding tahun sebelumnya,” katanya pada pemberita.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar bercakap kepada media selepas Program Santunan Kasih Asnaf MAIWP di Perumahan Awam Sri Kota, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 02 OKTOBER 2023.

Beliau berkata demikian selepas Program Santunan Kasih Asnaf MAIWP dengan kerjasama My Grocer, di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Flat Seri Kota, Bandar Tun Razak, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Na’im turut memaklumkan seramai 21,898 golongan asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah menerima bantuan tambahan keperluan asasi sebanyak RM150 sebulan.

Bantuan tersebut telah dikreditkan melalui e-wallter sejak ia mula dilancarkan pada awal Januari tahun lalu yang merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membantu mengurangkan beban kos hidup rakyat.

“Para asnaf boleh membuat pembelian di lori bergerak Mygrocer pada setiap hari di PPR sekitar Kuala Lumpur mengikut jadual yang ditetapkan bermula jam 8.30 pagi sehingga 1.00 petang. Menerusi inisiatif ini para asnaf boleh mendapatkan bahan mentah harian seperti ayam, sayur dan sebagainya.

“Bermatlamatkah sifar kelaparan ataupun zero hunger, ia adalah usaha MAIWP bagi membantu meringankan beban dalam barangan keperluan harian sekaligus meningkatkan kuasa beli golongan asnaf. Ini selaras dengan pelan transformasi al-Falah dengan memfokuskan kesejahteraan dan kebajikan sosial,” jelasnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar beramah mesra bersama penduduk dan golongan asnaf pada Program Santunan Kasih Asnaf MAIWP di Perumahan Awam Sri Kota, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 02 OKTOBER 2023.

Tambah beliau, menerusi program itu juga golongan asnaf Orang Kelainan Upaya (OKU) boleh menerima manfaat menerusi penubuhan pasukan Briged Muda.

Katanya, penubuhan pasukan itu akan terdiri daripada anak asnaf yang akan menghantar barangan keperluan itu ke rumah mereka.

“Dalam masa yang sama juga anak-anak muda ini boleh jana pendapatan sebab mereka ini akan diberikan komisen hantar ke unit-unit melibatkan OKU jadi bantuan ini kita tidak beri kepada orang luar.

“Setakat ini, kita ada 30 orang yang berbaju kuning, mereka adalah generasi kedua golongan asnaf ini. Saya difahamkan komisen diberi dalam RM5 per unit setiap kali mereka hantar,” ujarnya.

Mengulas mengenai kutipan zakat, Mohd Na’im menyasarkan sebanyak RM1 bilion mampu diperolehi pada Disember ini memandangkan hanya berbaki tiga bulan lagi untuk akhir tahun. – MalaysiaGazette