Defendan, R Suresh Kumar

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Shah Alam baru-baru ini memerintahkan seorang individu membayar RM1.06 juta kepada syarikat, Bagan Hasrat Sdn Bhd kerana didakwa gagal membayar balik pinjaman.

Pesuruhjaya Kehakiman Rozi Bainun membuat keputusan itu selepas membenarkan saman yang difailkan syarikat tersebut sebagai plaintif terhadap R Suresh Kumar selaku defendan.

MalaysiaGazette difahamkan mahkamah memerintahkan defendan membayar sejumlah RM1.06 juta kepada plaintif selain kos RM15,000.

Menurut pernyataan tuntutan yang difailkan syarikat itu pada April tahun lepas melalui Tetuan Arun Kasi & Co, Suresh Kumar yang dilihat MalaysiaGazette didakwa telah memohon daripada plaintif melalui Pengarah Urusan, Oms PA Thiagarajan untuk suatu pinjaman persahabatan berjumlah RM1.76 juta.

Pihak plaintif bersetuju untuk memberikan pinjaman persahabatan tersebut tanpa faedah kepada defendan dan pinjaman tersebut telah diberikan (disbursed) kepada defendan dalam lapan transaksi.

Defendan juga didakwa telah menandatangani pengakuan hutang dan mengesahkan penerimaan pinjaman persahabatan berjumlah RM1.76 juta daripada plaintif.

Ia adalah persefahaman bersama antara pihak-pihak bahawa Suresh Kumar hendaklah membayar balik sepenuhnya pinjaman persahabatan tersebut pada atau sebelum 1 Mac 2022.

Bagaimanapun defendan gagal membayar balik pinjaman persahabatan tersebut dalam tempoh yang dipersetujui.

Oms Thiagarajan yang merupakan seorang ahli korporat dan aktivis masyarakat melahirkan rasa syukur dengan keputusan tersebut memandangkan syarikatnya telah meminjamkan wang tersebut dengan niat baik yang mana ia akan dibayar balik namun ia tidak berlaku. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast