Sebuah kereta jenis BMW memandu secara melawan arus sebelum merempuh kereta yang datang dari arah Seberang Perai di susur keluar Jambatan Pulau Pinang awal pagi tadi.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki cedera selepas kereta dinaikinya dirempuh sebuah kereta yang dipandu secara melawan arus dalam kejadian  di susur keluar Jambatan Pulau Pinang menghala Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa memandu kereta jenis Perodua Bezza itu dikatakan dirempuh pemandu BMW 5 series yang dikesan memandu secara melawan arus dari Macallum.

Kejadian jam 1 pagi itu turut mengakibatkan pemandu BMW berkenaan cedera dan kedua-dua mangsa dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Saksi kejadian yang ingin dikenali sebagai Norhan berkata, dia yang dalam perjalanan pulang ke rumah terkejut melihat sebuah kereta berwarna putih dipandu seorang wanita memandu dalam keadaan melawan arus.

Kedua-dua pemandu kereta berkenaan mengalami kecederaan dikejarkan ke hospital.

“Pada mulanya saya sangka dia tersalah jalan tambahan pula nombor pendaftaran luar Pulau Pinang namun apabila ada simpang untuk dia keluar dan dia tetap masuk lawan arah saya mula curiga.

“Saya mula rakam pergerakan pemandu BMW itu apabila dia memasuki laluan susur keluar Jambatan Pulau Pinang dan tiba-tiba saya dengar bunyi dentuman kuat sebelum mendapati dia melanggar sebuah kereta yang datang dari arah Seberang Perai.

“Susulan itu, saya bersama orang awam lain menyelamatkan mangsa dalam kereta Bezza sebelum dia dikejarkan ke hospital,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, MalaysiaGazette kini sedang mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian daripada pihak polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast