Skuad Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) III muncul juara Piala Presiden musim 2023. Foto Facebook FAM.

KUALA LUMPUR – Skuad Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) III muncul juara Piala Presiden selepas berjaya mengatasi cabaran Negeri Sembilan FC 2-0 dalam aksi final kedua di Stadium Pasir Gudang malam tadi.

Keputusan ini membolehkan JDT III menjulang Piala Presiden 2023 dengan keputusan agregat 5-1.

Anak-anak Gonzalo Sanz Zaballos turun hanya perlu mempertahankan kelebihan agregat mereka selepas meraih kemenangan 3-1 pada aksi final pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 24 September lalu.

Namun, ubi muda Rusa menunjukkan disiplin di bahagian pertahanan bagi memastikan kelebihan agregat yang dimiliki JDT III tidak bertambah dengan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, tuan rumah terus menggandakan asakan. JDT III akhirnya mendahului pada minit ke-57 menerusi penyerang skuad B-23 kebangsaan, Fergus Tierney.

Begitupun, tuan rumah dipaksa bermain dengan 10 orang apabila Najmuddin Akmal Kamal Akmal dilayangkan kad merah oleh pengadil, Muhammad Usaid Jamal.

Walaupun memiliki kelebihan 11 pemain, Negeri Sembilan masih gagal menembusi gawang JDT III yang dikawal Zulhilmi Sharani.

Sebaliknya, tuan rumah mendapat sepakan penalti apabila kapten Amirul Farhan Asmadi melakukan kekasaran dalam kotak penalti. Akibatnya, Farhan dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua.

Ini membolehkan pemain gantian, Abdul Raziq Abd Rahman menyumbat gol kedua pada minit akhir perlawanan. – MalaysiaGazette