SEorang lelaki ditahan selepas disyaki meminjam dan melarikan motosikal seorang warga emas dalam kejadian di Banting semalam.

KUALA LUMPUR – Polis hari ini menahan seorang lelaki yang melarikan motosikal milik warga emas di Banting, Selangor pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada jam 11.15 pagi hari sama daripada mangsa yang berusia 65 tahun.

“Siasatan awal polis mendapati semasa kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa telah didatangi seorang lelaki warga tempatan tidak dikenali yang mahu meminjam motosikal miliknya dengan alasan hendak menghantar barang yang dibelinya ke rumah.

“Bagaimanapun, belum sempat mangsa mengizinkan untuk dipinjam, suspek tiba-tiba bertindak melarikan motosikal milik mangsa itu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Ahmad Ridhwan, bertindak atas laporan mangsa itu pasukan anggota dari D7 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat menjejaki dan membuat tangkapan ke atas suspek di sekitar kawasan Klang Utara kira-kira jam 12.30 tengah hari ini.

Tambah beliau, penahanan suspek berusia 42 tahun itu membawa kepada rampasan motosikal milik mangsa dan semakan mendapati lelaki itu memiliki enam rekod kesalahan jenayah lampau berkaitan dadah.

Katanya, suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor yang memperuntukan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda. – MalaysiaGazette