KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) tetap menggesa pihak berkuasa supaya menjalankan siasatan terhadap Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How meskipun beliau telah membuat permohonan maaf.
Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam, Putra Malaysia, Dr. Mohammad Fairus Khairuddin berkata, mentafsirkan al-Quran dengan sewenang-wenangnya adalah tindakan mempermainkan kalam Allah yang tidak boleh diterima sama sekali dan pelakunya wajib didakwa di mahkamah kerana menghina agama Islam.
“Tindakan mentafsir al-Quran sewenang-wenangnya adalah suatu tingkahlaku yang amat jelas mempermainkan kalam Allah dan ia tidak boleh diterima sama sekali.
“Adalah dengan ini ditegaskan, pelaku yang bertindak sedemikian juga boleh dan sewajarnya didakwa di mahkamah kerana menghina agama Islam,” katanya menerusi kenyataan.
Mohammad Fairus berkata, al-Quran juga merupakan sebuah kitab hidayah Ilahi yang memandu manusia kepada satu-satunya jalan benar serta membimbing mereka ke arah kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Malah katanya, perbendaharaan dan khazanah ilmu pengetahuan yang tersimpan di dalam al-Quran adalah ibarat lautan luas yang tidak bertepi dan tidak pernah kering.
“Manakala, tafsir pula adalah suatu disiplin ilmu yang menjelaskan maksud ayat-ayat yang terkandung dalam al-Quran.
“Justeru, bukan sebarangan orang yang boleh menafsirkan al-Quran, apatah lagi kalangan orang yang bukan Islam.
“Mereka langsung tidak layak sama sekali dan tidak boleh dibenarkan menafsirkan ayat-ayat al-Quran,” ujarnya.
Katanya, daripada sudut ilmu tafsir al-Quran, pentafsir mestilah menguasai selok belok bahasa Arab daripada aspek nahu, saraf, balaghah dan ‘arudhnya serta mengetahui ‘asbab an-nuzul’ yakni konteks penurunan sesuatu ayat agar tafsiran tidak menyimpang daripada maksud yang sebenarnya.
“Oleh yang demikian, berdasarkan penjelasan ini, kita tidak dapat menerima sama sekali mana-mana individu sama ada Muslim yang tidak memiliki kelayakan daripada sudut keilmuan untuk mentafsirkan kitab suci ini.
“Apatah lagi mereka yang bukan Islam adalah sama sekali tidak boleh dan ditegah untuk menafsir ayat-ayat al-Quran,” tegasnya.
Sebelum ini, Howard tampil membuat permohonan maaf kepada semua pihak susulan tindakannya memetik tafsiran ayat al-Quran.
Katanya, permohonan maaf itu diharapkan dapat menghentikan polemik yang telah mencetuskan ketegangan dan ancaman yang diterima ekoran penularan video berkenaan di media sosial.
Semalam, media melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar dilapor mengadakan pertemuan dengan Howard untuk memberi nasihat kepadanya berhubung tafsiran yang pernah dibuat berkaitan al-Quran.
Langkah itu bagi mengelak daripada berlakunya perkara yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat terutama di zaman media sosial ketika ini.
Pertemuan pada malam Isnin itu juga secara tidak langsung membina persefahaman bahawa Islam tetap wajib ditegakkan di Malaysia sebagai agama Persekutuan. – MalaysiaGazette
Setuju.. tapi yang mentafsir ikut selera pas jangan terlepas pulak