Ahmad Fadhli Shaari

BENTONG – Teori penyelesaian masalah hutang peneroka Felda tercetus oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu menjadi perdana menteri bukannya semasa pemerintahan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari mendakwa, pengundi Felda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai diingatkan kini bukan lagi masa untuk membalas budi UMNO atau Barisan Nasional (BN).

“Kita tahu bagaimana jasa Muhyiddin sebagai perdana menteri Malaysia mewakili PN (Perikatan Nasional) dari 2020 hingga 2021 yang mengemukakan teori penyelesaian hutang yang ditanggung oleh peneroka Felda.

“Dan ini perkara yang tidak boleh dinafikan walaupun tahu PMX (Anwar) hadir dengan pelbagai teorinya bahawa dialah yang menyelesaikan masalah.

“Dialah yang mengemukakan penyelesaian tetapi tuan-tuan pun tahu perkara yang tidak boleh dinafikan memberi penyelesaian kepada masalah sebenarnya Muhyiddin,” katanya semasa ceramah mega PN di Dataran Purnama, Simpang Pelangai malam tadi.

Jelas Ahmad Fadhli, pengundi DUN Pelangai perlu bijak memilih tanpa membangkitkan nostalgia lama kepada UMNO dan BN.

“Sekarang ini bukan lagi zaman untuk terhutang budi dengan UMNO, BN. Saya tahu saya faham tuan-tuan yang ada di Felda khususnya saluran satu dan saluran dua rasa terhutang budi dengan UMNO, BN. Kita rasa nak bayar balik jasa mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast