Dr Muhamad Akmal Saleh

MELAKA – Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) perlu diwujudkan segera bagi ‘membunuh’ aktiviti kartel beras di negara ini yang menjadi dalang dan pengkhianat kepada punca kekurangan beras tempatan ketika ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh berkata, hanya melalui penubuhan LPN yang dibubarkan selepas Padiberas Nasional Berhad (Bernas) diswastakan pada 1996 dapat mengatasi konflik kepentingan industri beras ketika ini.

“Kita kena wujudkan semula LPN sebabnya hari ini (isu beras) nampak seakan-akan dia loose cannon sikit (tidak dapat dikawal)
tapi bila ada LPN ini kita ada fokus untuk kawal beras kita.

“Jangan sampai kita nak bagi kartel-kartel ini keuntungan yang besar akhirnya pesawah kita di bawah ini sengsara dengan harga (padi) yang rendah.

“Sudah tiba masanya LPN ini kita buat, kena dimiliki kerajaan sebab ini barang asas walaupun ada orang akan kata ini kapitalis, bersifat macam komunis tapi kalau untuk mempertahankan barang asas untuk rakyat, kenapa tidak?” soalnya ketika ditemui wakil media di sini hari ini.

Dr Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri menyambut baik jika Bernas mahu mewujudkan semula kilang-kilang padinya.

“Kalau nak perhebatkan kilang-kilang Bernas, silakan kerana inilah masanya sebab jika tidak mereka (kartel) ada genggaman yang kuat sehingga boleh kawal kerajaan,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai empat langkah intervensi tambahan dilaksanakan bagi menangani isu bekalan beras dalam negara, beliau berkata, usaha itu akan menjadi sia-sia jika penguatkuasaan tidak diperhebatkan.

“Penguatkuasaan kena sangat tegas, berat, cepat dan teliti sebab  jika ada banyak kelonggaran-kelompongan yang berlaku dalam isu beras ini, saya percaya segala data yang kita ada itu hanya sekadar angka yang boleh dimanipulasi,” katanya. – MalaysiaGazette.