Shahrir Abdul Samad
Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) memerlukan tiga atau empat ‘katak politik’ melompat dari Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) sekiranya mahu membentuk kerajaan negeri yang baharu di Pahang.

Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih berharap dapat menubuhkan kerajaan negeri di Pahang dengan menjadikan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Menteri Besar.

“Sekarang Tan Sri Muhyiddin mengharapkan pula kepada ‘Langkah Pelangai’ sama seperti ‘Langkah Sheraton’ bagi menubuhkan sebuah kerajaan ‘tebuk atap’.

“Tan Sri Muhyiddin asyik berharap untuk ‘tekan butang’?” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Malam tadi, Muhyiddin dalam program ceramah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Felda Chemomoi menyatakan, beliau mengalu-alukan mana-mana wakil rakyat BN di Pahang yang mahu menyertai PN.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, PN sedang berusaha untuk membentuk kerajaan negeri Pahang sekiranya berlaku pertambahan kerusi apabila calonnya, Kasim Samat memenangi PRK DUN Pelangai.

DUN Pahang mempunyai 42 kerusi di mana 17 kerusi dimenangi BN selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) manakala 17 kerusi disandang PN dan lapan kerusi milik PH. – MalaysiaGazette